PETALING JAYA, 24 Ogos: Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, 515 individu ditahan polis semalam kerana kesalahan ingkar arahan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Beliau berkata daripada jumlah itu, 440 dikompaun, 69 direman dan 6 dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP, termasuk gagal menyediakan peralatan atau catatan keluar masuk (18) dan tidak memakai pelitup muka (17).

“Aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (252), aktiviti di dalam pub atau kelab malam (205), gagal mematuhi arahan kuarantin (2), premis beroperasi lebih masa (10), premis tanpa lesen (2), aktiviti perjudian (7) dan gagal melunaskan bayaran kompaun (2),” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Ismail berkata, sejak 24 Julai lalu sehingga semalam, seramai 15,980 individu pulang ke Malaysia melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Katanya, kesemua mereka ditempatkan di 67 hotel dan 5 Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu dan Labuan.

“Daripada jumlah itu, 7,466 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 55 dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Seramai 8,459 orang didiscaj dan dibenarkan pulang,” katanya

Ismail berkata, mereka pulang dari 32 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat.

Ismail berkata, semalam polis mengadakan 434 pemeriksaan terhadap individu yang menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing.

“Polis mengambil tindakan terhadap 1 individu kerana gagal mematuhi SOP ‘home quarantine’ yang ditetapkan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here