PETALING JAYA, 2 Sept: Yang di-Pertua Dewan Negara, Rais Yatim, yang baharu dilantik hari ini berkata tiada keperluan untuk melepaskan jawatan dalam PPBM, menjawab seruan Senator Liew Chin Tong dari DAP.

Liew pada sidang media hari ini seruannya selaras dengan mesej Rais sendiri selaku YDP Dewan Negara ke-18 pagi tadi, yang mahu para senator “kurang berpolitik” semasa persidangan, yang bermula hari ini.

Menggesa Rais mengikut contoh bekas YDP Dewan Rakyat, Ariff Yusof, Liew berharap “ini boleh jadi sebahagian dari normal baharu supaya Rais ambil kesempatan ini menjadi contoh kepada generasi akan datang.”

Semakan FMT mendapati Rais adalah ketua PPBM Jelebu.

Rais pada satu sidang media kemudiannya berkata tiada sebab untuk beliau berbuat demikian, mengatakan YDP Dewan Negara terdahulu menunjukkan peranan itu boleh dimainkan tanpa perlu menjejaskan kedudukan dalam parti.

Mengikut contoh YDP terdahulu, S Vigneswaran, yang juga presiden MIC, Rais berkata kovensyen menunjukkan tiada sebab untuk beliau meletakkan jawatan parti.

“Soal itu tidak lagi relevan kerana saya fikir konvensyen sudah ada bahawa YDP Dewan Negara dahulu masih berperanan politik sedikit sebanyak tanpa meletakkan jawatan. Saya fikir, kalau ada jawatan baru dalam parti, kita terima dengan hati terbuka,” katanya.

“Jawatan saya juga tidak banyak dalam parti, lebih kepada penasihat,” tambahnya.

Meskipun begitu, Rais berazam untuk mengutamakan kedudukan Dewan Negara.

“Ahli Dewan Negara khusus diangkat oleh Agong dan dilantik sebagai senator. Jadi, hal-hal berhubung politik peribadi harus diminimalkan. Dewan Negara bukan batu loncatan dalam hal-hal politik peribadi,” katanya.

Timbalan YDP Dewan Negara, Abdul Halim Abd Samad hari ini mengumumkan Rais terpilih sebagai YDP baharu melalui proses pengundian. Usul mencalonkan Rais dibuat oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here