PETALING JAYA,23 Sept: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang menasihatkan pengunjung yang balik dari Sabah menjalani ujian saringan Covid-19 selepas 3 hari pulang ke negeri itu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Sallehuddin Ishak dipetik Utusan Malaysia sebagai berkata, pengunjung terbabit perlu mengehadkan interaksi fizikal, mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan kerap membasuh tangan dalam tempoh 3 hari itu.

Katanya, keputusan itu susulan peningkatan jumlah pengunjung Pahang ke Sabah ketika ini.

“Pada ketika ini, penularan Covid-19 di negara ini terus meningkat, situasi yang membimbangkan dicatatkan di Sabah.

“Semua pihak berkenaan diminta memberikan kerjasama demi keselamatan diri, keluarga dan masyarakat,” katanya semalam.

Semalam, Sabah mencatatkan 60 kes baru Covid-19 dengan satu kluster baru yang dikenali sebagai kluster Bangau-bangau dikesan di Semporna.

Selain Bangau-bangau, terdapat 6 kluster aktif di Sabah ketika ini, menjelang Pilihan Raya Negeri Sabtu ini, iaitu Benteng LD, Pulau, Selamat, Kuarters, Bakau dan Laut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here