PETALING JAYA, 25 Sept: Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Anifah Aman cuba menyangkal apa yang dikatakannya sebagai “persepsi yang mengelirukan” bahawa beliau berkongsi pandangan politik dengan abangnya, bekas ketua menteri Musa Aman.

Anifah, yang menyasarkan kerusi DUN Bongawan berkata, pesaing PCS cuba menimbulkan isu hubungan beliau dengan Musa dalam usaha mempengaruhi pengundi supaya tidak menyokong partinya.

“Tetapi pengundi jelas mengenai perbezaan antara saya dengan abang saya dari sudut politik,” katanya.

Anifah memberitahu FMT bahawa beliau bergabung dengan PCS dan kemudian memimpinnya kerana percaya ia merupakan parti tempatan yang boleh memperjuangkan hak orang Sabah.

Katanya, rakyat Sabah tidak lagi mahu masa depan mereka diputuskan dan dipengaruhi oleh orang lain dan menambah bahawa partinya tidak berkhidmat dengan mana-mana “tuan politik” dari Semenanjung.

“Garis laporan PCS berhenti di Kota Kinabalu dan tidak pergi lebih jauh,” katanya.

Musa adalah ahli Umno. Beliau bukan calon dalam pilihan raya pada 26 September ini, tetapi berkempen untuk Gabungan Rakyat Sabah, yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Anifah berkata, rakyat Sabah memandang Umno dan BN sebagai parti dari Semenanjung.

“Mereka mengaku memiliki autonomi, tetapi orang tidak lagi percaya tidak akan ada campur tangan dari Malaya” sekiranya BN kembali berkuasa.

Katanya, beliau mengakui bahawa abangnya “melakukan banyak perkara untuk rakyat Sabah” ketika Musa menjadi ketua menteri, tetapi itu tidak bermakna pandangan politik mereka sama.

Beliau menyifatkan PCS sebagai parti “hero” yang berjuang untuk memenangi pilihan raya supaya mereka dapat membawa perubahan dan ia merupakan peluang baik untuk menentang PN dan Warisan.

Mengambil maklum bahawa Warisan bekerjasama dengan PKR dan DAP, beliau berkata: “orang Sabah jelas mahukan sebuah parti tempatan Sabah membentuk kerajaan negeri seterusnya.”

Beliau juga menggambarkan manifesto PCS sebagai “meluas” dan berkata, ia bertanding di semua 73 kerusi dalam PRN Kali ini..

Katanya, kebanyakan calon parti itu adalah profesional.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here