KUALA LUMPUR, Oct 30: Walaupun Covid-19 memberi kesan buruk kepada kehidupan dan ekonomi, tetapi pandemik itu turut meningkatkan kesedaran orang ramai terhadpa kepentingan jaringan keselamatan sosial.

Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Mohammed Azman Aziz berkata, rakyat kini lebih memahami peranan Perkeso dalam memberi perlindungan sosial dan juga manfaat caruman bulanan majikan serta pekerja.

“Covid-19 ini malang kerana sebahagian besar orang akan hilang pekerjaan, sama ada melalui pengecilan syarikat atau sesetengahnya ditutup.

“Tetapi, sekiranya anda dalam jaringan keselamatan, anda akan dapat bantuan. Ini adalah salah satu hikmahnya, saya boleh katakan, daripada peristiwa yang belum pernah berlaku. Orang ramai sudah sedar kepentingan jaringan keselamatan.

“Tak ada siapa tahu kita akan berada dalam situasi ini hampir setahun, dan tiada orang tahu berapa lama lagi ia akan berlarutan. Itu sebabnya anda memerlukan satu sistem untuk menyokong rakyat dalam apa jua kejadian malang yang berlaku,” katanya dalam temu bual bersama FMT.

Azman berkata, program subsidi upah, dengan peruntukan RM16 bilion, paling bermanfaat untuk firma dan juga ekonomi dengan membantu mengelakkan pemberhentian pekerja dan membolehkan perniagaan terus bertahan.

Pekerja yang kehilangan pekerjaan baru-baru ini, tetapi tidak memenuhi caruman minimum untuk layak mendapat faedah di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) layak menerima pendapatan gantian di bawah skim EIS Plus.

Beliau berkata, kursus peningkatan kemahiran turut disediakan kepada pekerja baru dan penganggur yang dilindungi Perkeso di bawah program insentif pengambilan pekerja, yang bertujuan merangsang permintaan pekerjaan dan menggalakkan pengambilan pekerja.

“Juga, temuduga mingguan diadakan secara fizikal dan maya, di samping pameran kerjaya peringkat kebangsaan seperti Karnival PenjanaKerjaya untuk mempromosikan peluang pekerjaan,” katanya.

Inisiatif utama lain Perkeso ialah program PenjanaGig, yang bertujuan mensubsidi sumbangan kepada perlindungan keselamatan sosial buat pekerja sektor gig, dengan peruntukan RM50 juta.

Azman berkata, lebih ramai orang mula bekerja dalam ekonomi gig ketika pandemik itu, tetapi kebimbangannya ialah kebanyakan daripada mereka tidak dilindungi skim perlindungan sosial.

Dengan vaksin yang belum dihasilkan dan Malaysia sedang menghadapi gelombang ke-3 Covid-19, Perkeso bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia untuk menambah baik program bantuan sedia ada menerusi Belanjawan 2021.

Beliau berkata, matlamat inisiatif itu ialah mengurangkan pengangguran, meningkatkan penempatan pekerjaan, memperluas liputan keselamatan sosial, terutamanya kepada mereka yang bekerja sendiri dan meningkatkan faedah keselamatan sosial.

Satu lagi rancangan Perkeso ialah meminda Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 untuk memastikan perlindungan sosial dan dasar pasaran buruh lebih baik yang akan memberikan perlindungan lebih besar terhadap kejutan ekonomi.

“Pemulihan ekonomi negara dijangka lebih perlahan memandangkan keadaan semasa dan ekonomi global. Pakar ekonomi menjangkakan ekonomi Malaysia akan pulih pada suku ke-3 2021.

“Sekiranya ini terjadi, kita perlu menilai sama ada jaringan keselamatan sosial semasa untuk pasaran buruh mencukupi.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here