BAGAN SERAI, 31 Okt — Kementerian Kesihatan hari ini menafikan dakwaan kononnya petugas kesihatan, khususnya pembantu perubatan dan jururawat, yang dihantar ke Sabah bagi menangani penularan COVID-19 tidak berpengalaman.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata kesemua mereka menjalani tapisan sewajarnya sebelum dihantar ke negeri berkenaan.

“Pemilihan adalah dari seluruh negeri, sebelum kita hantar telah periksa kelayakan, keistimewaan dan kepakaran mereka. Kita juga jalankan temu duga untuk memastikan hanya yang terpilih sahaja dihantar,” katanya kepada pemberita selepas program penyerahan kotak makanan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Semanggol di Pusat Tarbiah PAS di Jalan Gula di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak Razman Zakaria yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gunung Semanggol.

Dr Noor Azmi yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai diminta mengulas laporan sebuah portal berita pada 28 Okt lalu yang memetik seorang doktor perubatan di Sabah yang mendakwa penghantaran sejumlah jururawat dari Semenanjung belum dapat menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja kesihatan di negeri itu.

Ini kerana dakwa doktor itu petugas terbabit bukan sahaja perlu menjalani kuarantin selama satu atau dua minggu selepas tiba, mereka juga tidak boleh terus bekerja kerana masih junior dan tiada pengalaman serta perlu diajar.

Dalam pada itu, Dr Noor Azmi berkata kementerian tidak bercadang membuka pusat kuarantin di kawasan atau daerah yang mempunyai bilangan pesakit  COVID-19  rendah atas faktor kos. 

“Kalau pesakit tidak ramai, kita buka pusat kuarantin, nanti perlu ramai petugas. Apapun kita lihat keperluan, tapi buat ketika ini tiada cadangan,” katanya 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here