PETALING JAYA, 4 Nov: Seorang pakar ekonomi berkata, gaji lebih baik tidak mampu menarik rakyat Malaysia melakukan pekerjaan kasar dalam sektor perladangan dan komoditi.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Malaysia, Carmelo Ferlito berkata, Malaysia antara beberapa negara yang rakyatnya berjaya mengelak daripada pekerjaan 3D (kotor, bahaya dan sukar) berikutan pengimportan pekerja buruh.

Beliau berkata, ini bermakna negara sudah mencapai tahap kekayaan tertentu dan rakyat yang mempunyai jangkaan peribadi akan kecewa, sekiranya mereka perlu melakukan pekerjaan 3D.

“Untuk pekerja kolar putih menjadi pekerja kolar biru, dia perlu menjadi sangat terdesak untuk menyara keluarganya. Jika tidak, dia akan cuba semua pilihan lain,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, bekas pekerja kolar putih lebih sanggup menjadi pemandu Grab daripada melakukan pekerjaan 3D.

“Mereka mungkin boleh mempunyai pendapatan sama untuk usaha yang sedikit atau lebih bersih, dalam erti kata lain.

“Saya memahami kebimbangan kerajaan. Ia meminta rakyat menerima apa saja pekerjaan sekiranya mereka menganggur. Ini masuk akal, tetapi ia tidak semudah itu.”

Beliau berkata, tidak mudah bagi pekerja menukar industri dan beliau mengesyorkan Putrajaya menukar strategi pengekangan kepada strategi pemulihan dengan memfokuskan pekerja kolar putih kembali ke bidang asal mereka.

“Tidak mudah untuk tukar pekerja dan buruh antara industri berbeza. Penyesuaian boleh berlaku hanya dalam jangka panjang.”

Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan berkata, lebih baik untuk rakyat menggantikan tenaga kerja asing dalam industri perladangan.

Beliau berkata, Indonesia, negara asal sebahagian besar pekerja sektor itu, kini menawarkan upah kompetitif dalam sektor kelapa sawitnya sendiri, menyebabkan ladang Malaysia sukar menarik pekerja dari sana.

Bagaimanapun, katanya, stigma sosial pada pekerjaan sektor itu ialah penghalang utama buat rakyat Malaysia dan menjadikannya isu “sangat kritikal” untuk ditangani Putrajaya.

“Kerajaan boleh mengadakan kempen kesedaran untuk sektor itu menjadi lebih menarik bagi rakyat Malaysia.”

Beliau berkata, tidak ramai rakyat tahu bekerja di ladang akan ditawarkan kemudahan perumahan baik yang dilengkapi bekalan air dan elektrik percuma serta tanah untuk bertani.

Katanya, cadangan mengeluarkan permit kerja sementara kepada pendatang asing tanpa izin yang sudah berada di negara ini hanya baik buat jangka pendek.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali baru-baru ini menggesa rakyat mengisi kekosongan yang ditinggalkan pekerja asing dalam industri perladangan dan komoditi akibat kekurangan tenaga kerja sangat kritikal di kedua-dua sektor itu.

Katanya, wajar untuk mengehadkan pengambilan pekerja asing ketika ramai rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here