KUALA LUMPUR, 12 Nov — Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bekerjasama dengan Industrial and Commercial Bank of China (Malaysia) Bhd (ICBC) untuk meningkatkan akses pasaran komuniti perniagaan Malaysia ke China.

Menurut agensi penggalakkan perdagangan itu, kedua-dua pihak menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk memformalkan kerjasama bagi memperkukuh pembangunan ekonomi dan perdagangan Malaysia-China serta kerjasama pelaburan rentas sempadan bagi faedah bersama.

“Inisiatif ini akan meningkatkan lagi sinergi antara MATRADE dan ICBC untuk membina kedudukan  kukuh Malaysia di China khususnya bagi melaksanakan program promosi perdagangan, termasuk padanan perniagaan, maklumat penasihat perdagangan, rundingan perniagaan antarabangsa, pameran perdagangan dan misi perdagangan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MATRADE Datuk Wan Latiff Wan Musa dalam kenyataan hari ini.

MATRADE dan ICBC mengadakan majlis pemeteraian MoU itu secara maya pada Pameran Perdagangan Jalur dan Laluan (BRI) bersempena Ekspo Import Antarabangsa China ketiga pada 6 Nov 2020.

MoU itu ditandatangani oleh Wan Latiff dan CEO dan Pengarah Urusan ICBC Malaysia Wang Qiang.

Pameran Jalur dan Laluan itu dianjurkan oleh Majlis Penggalakkan Perdagangan Antarabangsa China dan Industrial and Commercial Bank of China.

Lebih 500 wakil perniagaan dari 32 negara dan wilayah menyertai program padanan perniagaan (secara maya dan fizikal) yang mana enam syarikat Malaysia turut mengambil bahagian menerusi platform Padanan Perniagaan (BMM) ICBC.

“Dalam persekitaran semasa yang mencabar untuk menjalankan perniagaan di tengah-tengah pandemik global, MATRADE akan terus menyokong dan mempromosi perdagangan dua hala dan potensi kerjasama antara Malaysia dan China dengan menggunakan pelbagai saluran termasuk platform BMM ICBC.

“Platform ini disifatkan sebagai saluran yang baik kepada pengeksport Malaysia untuk menjangkaui jutaan pelanggan ICBC bukan sahaja di China, malah di peringkat global,” kata Wan Latiff.

Pada September 2020, perdagangan dengan China menyumbang 19.8 peratus kepada jumlah perdagangan Malaysia dengan peningkatan 21. 5 peratus tahun ke tahun kepada RM30.85 bilion.

Eksport ke China yang mengekalkan pertumbuhan dua digit bagi empat bulan berturut-turut sehingga September, meningkat 41.9 peratus bagi bulan itu kepada RM15.56 bilion terutamanya disebabkan eksport produk elektrik dan elektronik yang lebih tinggi, produk besi dan keluli serta minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit.

Sementara itu import dari China menokok 6.1 peratus kepada RM15.29 bilion.

Berasaskan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masing-masing mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 11.4 peratus, 11.3 peratus dan 11.4 peratus.

Perdagangan dengan China pada sembilan bulan pertama tahun ini meningkat tiga peratus kepada RM237.15 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2019.

Eksport pula mencatatkan pertambahan dua digit sebanyak 13.3 peratus kepada RM114.54 bilion, didorong oleh eksport barangan besi dan keluli yang lebih tinggi, pengilang lain (peranti solid-state storage  (SSD), pembuatan logam serta produk minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit.

Import dari China merosot sebanyak 5.1 peratus kepada RM122.61 bilion.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here