KUALA BERANG, 16 Nov — Tahap kesedaran peniaga e-dagang dan usahawan dalam talian untuk mendaftarkan perniagaan mereka di bawah SSM BizTrust melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) masih rendah.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata sejak diperkenalkan pada 2017, hanya 4,181 perniagaan telah berdaftar dengan SSM BizTrust melibatkan 373,213 transaksi jual beli.

“SSM BizTrust membolehkan pembeli melihat entiti perniagaan dalam talian melalui SSM yang memperakukan bahawa entiti perniagaan itu mematuhi ciri-ciri prinsip dan kriteria ditetapkan, termasuk pendaftaran perniagaan, keselamatan urus niaga dalam talian dan perlindungan maklumat pengguna.

“Sehubungan itu, KPDNHEP menyeru lebih ramai peniaga untuk berbuat demikian kerana SSM BizTrust akan meningkatkan lagi kepercayaan pembeli kepada produk dan perkhidmatan yang peniaga tawarkan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke sebuah ladang penternakan ayam di sini.

Rosol berkata pendaftaran untuk SSM BizTrust adalah percuma hingga 30 Dis depan.

— LAGI

ROSOL-BIZTRUST 2 (AKHIR) KUALA BERANG

Katanya, kementerian mendapati perniagaan dalam talian meningkat sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas dan  berdasarkan rekod Jabatan Perangkaan Malaysia, transaksi dalam talian pada Mei tahun ini meningkat sebanyak 39.3 peratus, berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Berdasarkan pertumbuhan sektor perniagaan di platform e-dagang dan dalam talian ini, kementerian juga sedia maklum mengenai kepentingan melindungi pengguna dan mengekang aktiviti penipuan oleh peniaga yang menawarkan produk atau perkhidmatan secara dalam talian. 

“Sehingga September lepas, kementerian telah menerima 9,116 aduan membabitkan perniagaan dalam talian antaranya kesalahan tidak menerima barangan, perkhidmatan tidak seperti ditawarkan, kes tuntutan semula pembayaran dan iklan mengelirukan,” katanya.

Berikutan itu, katanya, kementerian telah mengambil tindakan ke atas 15 syarikat yang dikenakan tindakan undang-undang sepanjang 2019 hingga September lepas di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here