KUALA LUMPUR, 20 Nov  — Malaysia menyambut baik pelaburan berteknologi tinggi, pengetahuan dan usaha teroka berintensifkan modal dari China berikutan pelaburan seumpama itu berperanan  memacu perubahan ekonomi ketika pandemik COVID-19.

 Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pihaknya sedia maklum bahawa, untuk sembilan bulan pertama tahun ini, China telah melabur sebanyak RM16.8 bilion dalam sektor pembuatan di Malaysia, membabitkan 58 projek pembuatan.

China kekal sebagai satu daripada rakan dagang terbesar Malaysia dan antara sumber pelaburan langsung asing utama di negara ini, kata agensi itu dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, MIDA berkata agensi itu bersama-sama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah menganjurkan Forum Perniagaan Malaysia-China: Normal Baharu, Peluang Baharu pada 18 November lepas.

Forum itu dianjurkan dengan kerjasama Dewan Perdagangan untuk Import dan Eksport Jentera dan Produk Elektronik China (CCCME) dan China Construction Bank (CCB).

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Azman Mahmud dalam forum itu berkata, kerajaan sedang memperkukuhkan persekitaran pelaburan Malaysia dengan memperkenalkan pelan rangsangan ekonomi yang pelbagai dan langkah insentif untuk memerangi cabaran akibat pandemik COVID-19.

Beliau berkata Malaysia mengalu-alukan pelaburan daripada syarikat-syarikat China, antaranya yang mengkhusus kepada mesin automatik dan robot, aeroangkasa dan aeronatik, biofarma dan peranti perubatan, teknologi maklumat terkini dan kenderaan tenaga baharu.

“Tidak diragui bahawa ini akan berperanan untuk mendorong perubahan ekonomi kita meskipun dilanda pandemik,” kata Azman.

MIDA berkata, pada masa akan datang, Malaysia berhasrat memperkukuhkan hubungan serantau dengan China untuk saling melengkapi kelebihan masing-masing dan memperluaskan pelaburan dan perdagangan dua hala.

Dalam ucaptama pada majlis itu, Timbalan Menteri MITI Datuk Lim Ban Hong berkata terdapat keperluan terhadap kerjasama pertumbuhan yang mampan dan saling bermanfaat, bukan sahaja antara China dan Malaysia, malah lebih daripada itu bagi mewujudkan perkembangan ekonomi yang dinamik.

“Pemeteraian perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang bersejarah adalah signifikan ke arah merealisasikan permintaan ekonomi antarabangsa yang bebas dan terbuka.

“Ia mencerminkan komitmen kukuh kami kepada perdagangan antarabangsa, kesalinghubungan, sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan dan meningkatkan aliran perdagangan dan pelaburan bebas,” katanya.

Lim berkata pelaksanaan perjanjian itu akan membantu memastikan pembukaan pasaran serta rantaian bekalan tanpa gangguan termasuk mewujudkan integrasi perdagangan yang lebih baik dan mempelbagaikan rangkaian pengeluaran dengan China.

— BERNAMA  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here