Kuala Lumpur, Nov 30 — Sejak penularan Covid-19, pandemik memberi tamparan hebat bukan sahaja rakyat di Malaysia, malah serata dunia. Virus itu bukan sahaja meragut nyawa, tetapi turut memberi kesan kepada seluruh industri sekali gus menjejaskan ekonomi.

Banyak syarikat dan perniagaan terpaksa gulung tikar kerana tidak dapat menampung kos operasi. Ramai yang hilang pekerjaan dan mata pencarian. Selain mereka yang kehilangan kerjaya, graduan paling terkesan dengan peluang kerja yang tidak kunjung tiba.

Segelintir syarikat ingin mengambil pekerja yang memiliki pengalaman dan ini menyebabkan “fresh graduate” tercicir. Selain itu, faktor gaji kecil menyebabkan graduan tidak berminat mendapatkan pekerjaan, selain ‘lari’ daripada bidang yang dipelajari semasa di universiti.

Menyedari masalah tersebut, kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mewujudkan program baharu dikenali Skim Perantisan Nasional (SPN) bagi membantu golongan belia yang tidak mempunyai pengalaman mendapatkan pekerjaan. KBS melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara menawarkan kerjasama dengan syarikat-syarikat swasta bagi memberi jaminan pekerjaan kepada graduan.

Pure Education Sdn Bhd selaku penyedia latihan terpilih untuk menjalin kerjasama itu sejak Jun lalu menghargai dan menyambut baik peluang tersebut. Antara pekerjaan dan latihan yang kami tawarkan termasuk bidang makanan dan minuman, pembuatan, perhotelan, peruncitan, komunikasi, dan sebagainya.

Mengikut statistik kami, lebih 1,000 graduan ditemuduga oleh Pure Education untuk “Place and Train” dan “Job Placement” bawah SPN. Seramai 200 belia berjaya mendapat pekerjaan dan jumlah tersebut dijangka meningkat. Pure Education menawarkan latihan “upskilling” dan “reskilling” bagi meningkatkan kemahiran serta pengetahuan belia sebelum masuk ke dunia pekerjaan sebenar.

Program SPN banyak memberi manfaat kepada syarikat penyedia latihan khususnya dalam memberi latihan kepada bakal pekerja. Ini membolehkan syarikat penyedia latihan seperti kami membantu mana-mana syarikat yang tidak mempunyai dana untuk menyediakan latihan kepada bakal pekerja mereka. Selain itu, kami juga dapat membantu syarikat-syarikat yang mengalami kesukaran untuk mencari pekerja.

Pada masa sama, dengan menyertai SPN, graduan yang tidak memiliki pengalaman berpeluang cerah untuk mendapat pekerjaan. Program ini wajar diteruskan kerana dapat mengurangkan kadar pengangguran belia, sekali gus memberi sinar kepada rakyat yang terkesan dengan impak Covid-19.

Majikan yang menyediakan peluang latihan dan pekerjaan melalui SPN akan mendapat manfaat subsidi upah Penjana berjumlah RM600 dalam tempoh enam bulan dan subsidi latihan RM4,000 seorang, dengan syarat majikan perlu berdaftar dengan PERKESO dan HRDF.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here