PETALING JAYA,Dec 1: Seorang bekas pegawai Kementerian Kesihatan menggesa kerajaan mula menaikkan cukai tembakau semula kerana ia cara paling berkesan untuk mencegah tabiat merokok.

Pakar kawalan tembakau, Dr Zarihah Mohd Zain, yang membantu merangka peraturan merokok di Malaysia, menggesa kerajaan menaikkan cukai sebanyak 5 kali ganda.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengabaikan “kisah sedih” pengeluar rokok.

Katanya, syarikat terbabit memperbodohkan kerajaan agar tidak menaikkan cukai tembakau sejak 5 tahun lalu untuk mengatasi penjualan rokok seludup yang lebih murah.

“Jika kita mula menaikkan cukai semula, ia akan menyebabkan harga produk tembakau lebih tinggi, cara baik untuk mengurangkan permintaan perokok,” katanya kepada FMT.

“Sejak 5 tahun lalu kerajaan tidak menaikkan cukai, adakah ia berjaya menyelesaikan masalah penyeludupan? Tidak sama sekali. Malah, itulah cara industri tembakau memperbodohkan kerajaan.”

Zarihah percaya punca utama rokok pasaran gelap adalah rasuah dalam kalangan penguat kuasa yang membenarkan produk haram itu memasuki negara ini.

Katanya, kerajaan perlu bertindak serentak dengan menghentikan penjualan rokok bebas cukai itu dan mula menyiasat penguat kuasa atas kesalahan rasuah.

Beliau berkata, walaupun industri tembakau menjana pendapatan untuk negara, kerajaan turut dibebani kos mengadakan program berhenti merokok.

“Ia tidak berbaloi. Kerajaan perlu sedar industri ini yang menyebabkan Malaysia kehabisan pendapatan.”

Semalam, Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba memberitahu Dewan Rakyat, kerajaan mungkin mempertimbangkan penggunaan cukai rokok dan tembakau bagi menampung kos untuk program anti-merokok.

Beliau berkata, dianggarkan terdapat 4.8 juta perokok dalam negara yang meliputi 21% daripada populasi.

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia menyambut baik kenaikan cukai tembakau bagi menampung kos penjagaan kesihatan seperti dilaksanakan negara lain dan disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

“Cukai yang dikutip perlu digunakan untuk menyediakan program berhenti merokok. Kematian dan penyakit akibat asap tembakau menyebabkan kos penjagaan kesihatan dan produktiviti negara menyusut,” kata penyelaras kawalan tembakau Fomca, Muhammad Sha’ani Abdullah.

Julai lalu, sebuah kumpulan penyokong pengguna global, Consumer Choice Centre memberi amaran jualan dan pembelian rokok seludup – yang harganya hanya 1/3 daripada harga produk sah – akan terus meningkat tanpa perubahan terhadap cukai tembakau tempatan.

CCC berkata, rokok pasaran gelap menguasai 60% pasaran, menampung kira-kira 5 juta perokok di Malaysia.

Seramai 22,000 perokok dirawat di bawah program berhenti merokok setakat ini, dan tahun lepas saja, kerajaan membelanjakan RM2.8 juta untuk program itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here