PETALING JAYA,10 Dis: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menolak kebimbangan bahawa Malaysia mungkin menghadapi cabaran dalam pengedaran vaksin yang memerlukan penyimpanan dan penghantaran di bawah suhu 0°C kerana ia membuktikan keupayaanya pada masa lalu.

Berucap dalam forum maya bertajuk “Recover Better – Stand Up for Human Rights”, ketua misi dan wakil WHO di Malaysia, Brunei dan Singapura Dr Lo Ying-Ru berkata, keupayaan negara untuk menangani penularan polio pada awal tahun ini menunjukkan keupayaan logistik sudah sedia ada untuk penghantaran dan penyimpanan rantaian sejuk.

“Vaksin polio yang diberi secara oral (OPV) yang didermakan daripada stok WHO kepada kanak-kanak di Sabah memerlukan penyimpanan pada suhu -80°C, jadi kita tahu Malaysia mempunyai keupayaan untuk mengedar vaksin pada prasarana simpanan dan mengurusnya,” katanya.

Menurut data awal mengenai vaksin Covid-19 yang diterbitkan, vaksin yang dihasilkan oleh Pfizer/BioNTech dan Moderna perlu dikekalkan dalam suhu yang sangat sejuk, iaitu masing-masing di bawah suhu -70°C dan -20°C sepanjang proses penghantaran dan penyimpanan.

“Ketika penularan polio, kita dapat membawa masuk vaksin pada suhu di bawah -80°C. Kita menerimanya di gudang khas Kementerian Kesihatan dan ia diedarkan ke Sabah. Jadi kita tahu ia berkesan dan Malaysia boleh melakukannya,” kata Lo.

Beliau berkata kemampuan mengedar vaksin Covid-19 secara adil dan mencukupi penting bagi memastikan usaha mengekang penularan wabak itu di peringkat tempatan dan global tidak terjejas.

Ia mengulangi kenyataan Menteri Luar Hishammudin Hussein semasa ucapan pembukaannya pada forum berkenaan.

Beliau berkata “akses kepada vaksin yang mampu dibayar, boleh diakses dan saksama adalah penting.”

“Vaksinasi adalah hak asasi manusia yang mesti dihormati, dilindungi dan dipenuhi,” katanya.

Forum berkenaan diadakan bersempena sambutan Hari Hak Asasi Manusia Dunia 2020 dan dianjurkan bersama oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, Kementerian Luar, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri dan PBB di negara ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here