KOTA KINABALU,Dec 11: Pengerusi Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Sabah, Kew Seih Teck menyokong pelonggaran perintah kawalan pergerakan (PKP) kerana berpendapat sudah tiba masanya masyarakat mula belajar untuk hidup bersama wabak Covid-19.

Katanya, langkah memperketatkan semula PKP hanya akan mendatangkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan kerana paling penting ialah setiap individu melindungi diri sendiri daripada dijangkiti dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Sebagai seorang doktor, saya mengangkat sumpah untuk tidak mencederakan serta membahayakan pesakit dan sekiranya terpaksa memberi rawatan, saya perlu mengimbangkan kebaikan lebih daripada keburukan.

“Pada masa sama, sekiranya saya tidak dapat memulihkannya (pesakit), saya akan pastikan keselesaan pesakit saya ‘di penghujung jalannya’.

“Berkenaan isu melawan wabak Covid-19, kita bermula dengan PKP pada Mac. Hingga sekarang sudah sembilan bulan, saya bersetuju bahawa mencegah adalah lebih baik daripada merawat.

“Kalau semua orang ‘dikurung’ dalam rumah memang risiko penyakit berjangkit berkurangan, tetapi berapa lama kita boleh teruskan keadaan seperti ini?

“Ekonomi kita akan terjejas, pembelajaran anak kita terganggu dan masa depan mereka akan menjadi ‘pudar’,” katanya kepada FMT.

Kew yang juga pensyarah di Universiti Malaysia Sabah berkata, rakyat, khususnya di Sabah, kini perlu menerima hakikat bahawa wabak Covid-19 sudah berada dalam seluruh komuniti dan memperketatkan semula PKP bukanlah jalan terbaik, malah mungkin memburukkan lagi keadaan.

Katanya, dengan memperketatkan semula PKP, mungkin lebih ramai yang akan meninggal dunia bukan disebabkan Covid-19, tetapi kerana muflis, penyakit mental serta penyakit kronik yang lain.

“Sedangkan ‘kepala api’ masih kekal, ia hanya menunggu masa membakar dan merebak. Ini terbukti apabila kita terpaksa melonggarkan PKP sebelum in,i namun diperketatkan semula pada Sept selepas kes Covid-19 meningkat mendadak dan jumlah kes jangkitan harian masih kekal pada tahap tiga angka.

“Kita perlu terima hakikat bahawa Covid-19 sudah berada dalam seluruh komuniti di Sabah.

“Kita tidak dapat nafikan kehadiran wabak berkenaan menyebabkan rawatan penyakit lain terabai. Semua temu janji, pembedahan yang bukan berkaitan Covid-19 ditangguhkan.

“Banyak rawatan di klinik pakar yang ditunda ke tahun depan sedangkan penyakit bukan Covid-19 ini masih berterusan seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan kewangan juga perlu lebih seimbangkan dan tidak hanya tertumpu kepada rawatan Covid-19 kerana penyakit lain juga berlaku setiap hari.

“Setiap ujian Covid-19 membabitkan beratus ringgit. Yang positif sudah beribu-ribu ringgit apatah lagi kos yang negatif? Bolehkah kita kekal begini sampai tahun depan dan seterusnya?

“Adakah penyakit ini begitu serius?

“Laporan kematian setiap hari, tetapi ramai daripada mereka berpenyakit sampingan seperti masalah buah pinggang, barah, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya.

“Tanpa dijangkiti Covid-19, adakan mereka (pesakit) boleh bertahan lama? Kita perlu ingat tanpa laporan kematian sebelum ini, setiap hari ada orang yang meninggal dunia juga,” katanya.

Kew berpendapat vaksin Covid-19 yang kini hangat diperkatakan masih belum “cukup matang” untuk digunakan kerana kajian terhadapnya belum mencukupi.

“Proses mencari vaksin mungkin bermula pada bulan Mac dan bagi saya ia belum menjalani kajian yang cukup untuk digunakan dengan selamat selain keberkesanannya masih boleh dipersoalkan,” katanya.

Dalam pada itu, Kew turut mencadangkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) supaya mengadakan perjumpaan dengan semua pihak, termasuk berkaitan ekonomi, perniagaan dan pendidikan bagi mencari penyelesaian terbaik untuk masa depan negara dalam melawan pandemik Covid-19 ini.

“Banyak sudut yang perlu kita tengok sebelum keputusan melanjutkan PKP dibuat. Kita tengok di Eropah, walaupun mencatat kes yang banyak, tetapi mereka sudah memulakan perlawanan bola sepak, tenis dan sebagainya.

“Ini kerana sektor perniagaan mereka besar, ramai yang sara hidupnya bergantung kepadanya.

“Jika tidak mereka akan muflis dan mereka hanya perlu mematuhi SOP untuk terus berfungsi.

“Di Sabah pula, ekonomi banyak bergantung pada industri pelancongan dan kalau (PKP) berterusan pada masa akan datang, ekonomi kita pastinya merudum, dan ia terbukti apabila banyak kedai ditutup di Jalan Gaya di Kota Kinabalu misalnya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here