OHOR BAHRU, 20 Dis — Tindakan polis mengenakan saman terhadap individu yang didapati menggunakan nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi dalam satu operasi pada Khamis lepas di sini, merupakan satu tindakan yang berasas, kata Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau berkata justifikasi pemandu berkenaan yang mengatakan telah menggunakan nombor tersebut lebih 10 tahun tidak boleh diguna pakai kerana penguatkuasaan telah dilakukan.

“Semalam ada diviralkan satu video seorang pemuda yang mempertikai tindakan polis menyaman tetapi kalau ikutkan, kami ada asas sebab nombor dia memang tidak ikut spesifikasi ditetapkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini mengulas video viral yang memaparkan tindakan seorang lelaki yang tidak berpuas hati apabila menerima saman polis akibat kesalahan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) ACP Mohd Padzli Mohd Zain dalam kenyataan berasingan berkata tindakan lelaki berkenaan yang mengeluarkan kata-kata kesat  terhadap polis serta merakam anggota polis menjalankan tugas mengundang padah apabila dia ditahan semalam di Balai Polis Setia Indah.

Katanya, lelaki warga tempatan berusia 36 tahun itu naik berang apabila menerima dua saman yang dikeluarkan polis dari  Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD JBS atas kesalahan nombor tidak timbul, berkilat serta melakukan pengubahsuaian pada ekzos kereta dalam satu operasi yang dilakukan di Jalan Mutiara Emas Putih pada 11 tengah hari, Khamis. 

“Pemandu berkenaan yang tidak berpuas hati kerana disaman bertindak merakam anggota polis yang menjalankan tugas dan ketika hendak beredar, lelaki tersebut sempat mengeluarkan kata-kata kesat dengan nada yang kuat.

“Berikutan itu, pegawai polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD JBS bertindak  membuat laporan polis terhadap individu yang mengeluarkan kata-kata kesat itu,” katanya.

Mohd Padzli berkata pemandu berkenaan yang  hadir ke Balai Polis Setia Indah kemudiannya ditahan bersabit laporan terdahulu yang dilakukan pihak polis JBS.

Hasil semakan awal terhadap suspek juga mendapati terdapat rekod jenayah lampau berkaitan dadah namun saringan ujian air kencing terhadap suspek didapati negatif.

“Suspek kini direman tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan atau Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here