GEORGE TOWN, 26 Dis — Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bakal memperkenalkan Dasar Pembangunan Semula Perumahan Awam bagi membolehkan rumah baharu yang lebih selesa dibina menggantikan kediaman yang sudah terlalu lama.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata menerusi dasar itu, rakyat terutama golongan B40 dapat mendiami rumah yang lebih besar dengan kemudahan-kemudahan lengkap berbanding rumah lama yang sedang didiami mereka.

“Rumah yang sudah berusia 30 tahun kita robohkan dan buat perumahan baharu. Kaedah ini lagi bagus kepada pemilik, ini kerana jika kita bina rumah baharu, mereka akan dapat rumah yang lebih besar.

“Perumahan awam (rumah mampu milik) sedia ada hanya berkeluasan 750 kaki persegi dan menerusi polisi baharu ini rumahnya mesti berkeluasan 900 kaki persegi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat bersama Exco Perumahan Negeri Kedah berkenaan projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Ayer Hitam, Jerlun, Kedah di sini hari ini.

Zuraida berkata kaedah pada masa ini iaitu membuat penyelenggaraan terhadap rumah-rumah awam termasuk PPR sudah tidak lagi berekonomi berbanding pembinaan semula rumah baharu yang lebih menguntungkan.

“Maka kita luluskan rumah-rumah lama buat pembangunan semula, tapi tanpa perbelanjaan daripada kerajaaan, kita boleh gunakan penglibatan swasta dan sebahagian tanah itu pihak swasta boleh membina  rumah bagi jualan mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata dasar tersebut kini sedang di peringkat diperkemaskan dan bakal dibawa ke Kabinet  seterusnya dibentangkan di Parlimen untuk diluluskan.

Sementara itu, berhubung permasalahan PPR Ayer Hitam di Jerlun itu, Zuraida berkata rumah berkenaan telah siap pada 15 Ogos tahun lepas dan penyerahannya sedikit tertunda berikutan masalah teknikal antaranya pertukaran skim rumah.

“Kita akan selesaikan isu ini secepat mungkin, senarai nama pembeli sudah ada seramai 630 orang yang layak membeli rumah itu dan saya telah arahkan pegawai untuk papar nama pemohon yang layak pada Isnin depan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here