PETALING JAYA,Jan 18: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM15 bilion menerusi Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bagi membantu rakyat dan perniagaan serta melindungi ekonomi negara.

Ia susulan pengenalan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula 13 Jan lalu.

Muhyiddin berkata, pakej bantuan PERMAI diwujudkan bagi menambah baik inisiatif sedia ada yang masih berterusan dan juga mempercepatkan pelaksanaan inisiatif yang berkaitan.

“Sebanyak 22 inisiatif akan dilaksanakan di bawah PERMAI yang berteraskan tiga matlamat utama iaitu memerangi wabak Covid-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Tambahnya, ketika tempoh pelaksanaan PKP ini, bantuan moratorium dan pengurangan bayaran balik pinjaman akan terus disediakan, termasuk lanjutan moratorium, dan pengurangan ansuran pinjaman akan ditawarkan oleh bank, seperti diumumkan sebelum ini.

“Bagi negeri-negeri dilanda banjir, 15 bank sudah menawarkan moratorium bayaran balik pinjaman. Setakat ini, lebih 1.3 juta peminjam memohon dan menerima bantuan pembayaran, dengan kadar kelulusan sebanyak 95% bagi peminjam individu dan 99% bagi peminjam PKS,” katanya.

Katanya lagi, bagi peminjam yang menghadapi kesukaran berurusan dengan bank, Bank Negara Malaysia serta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, (AKPK), bersedia untuk membantu dan memberi khidmat nasihat kepada rakyat yang terkesan melalui telefon atau secara dalam talian.

“Bahkan, selaras dengan keperluan norma baharu yang bergantung kepada penggunaan alat digital, suka saya berkongsi pelepasan cukai khas sehingga RM2,500 ke atas pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet yang berakhir pada 31 Disember akan dilanjutkan setahun lagi sehingga 31 Disember 2021,” katanya.

Jelasnya lagi, pemberian 1 gigabit secara percuma sudah diberi kepada orang ramai, untuk melayari laman web termasuk untuk tujuan pendidikan. Muhyiddin berkata, kemudahan bernilai 500 juta ringgit ini bermula pada 1 Januari 2021 dan akan dilanjutkan sehingga hujung April.

“Selain itu, pakej langganan khas untuk pelajar yang menduduki peperiksaan SPM dan STPM akan diperluaskan kepada pelajar institusi pengajian tinggi. Pakej ini juga akan disediakan sehingga hujung April 2021,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here