BATU KAWAN, 23 Jan  — Masalah akses internet yang terhad di kawasan pedalaman di Pulau Aman di sini sehingga menyukarkan pelajar di situ mengikuti proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR ) mendapat perhatian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pulau Aman, Saibi Abd Majid berkata pihak MCMC menghubunginya sebaik sahaja isu tersebut dilaporkan media semalam, selepas beberapa orang pelajar meluahkan kegusaran mereka disebabkan akses internet di kawasan itu amat terhad sehingga membantutkan proses PdPR mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Selepas berita itu disiarkan, pada pagi ini kampung kami dikunjungi oleh beberapa orang pegawai MCMC meninjau kawasan ini bagi mengenal pasti masalah tersebut,” katanya ketika dihubungi  hari ini.

Saibi berkata pihak MCMC telah membuat pemeriksaan isyarat telekomunikasi dengan menggunakan peralatan khas dan mendapati capaian liputan perkhidmatan internet yang disediakan beberapa syarikat telekomunikasi di pulau itu adalah rendah.

Katanya, beliau turut dimaklumkan bahawa MCMC akan meminta syarikat telekomunikasi yang menawarkan perkhidmatan di pulau itu supaya meneliti semula rangkaian internet yang ditawarkan terutamanya dari segi menaikkan had liputan supaya ia lebih laju.

“Saya juga dimaklumkan MCMC bahawa satu menara telekomunikasi khusus dicadang untuk dibina di pulau ini selepas masalah berkaitan tanah diselesaikan dalam tempoh terdekat.

Sebagai penduduk kami berasa lega dan berterima kasih kepada pihak media yang datang ke pulau ini semata-mata ingin membantu menyuarakan masalah yang kami hadapi kepada pihak berkaitan lebih-lebih lagi ketika pandemik COVID-19 yang menjadikan perkhidmatan internet sangat penting khususnya bagi anak-anak di pulau ini mengikuti kelas PdPR dengan lebih lancar,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here