PETALING JAYA,4 Feb: Ujian Covid-19 yang 90% tepat, tiada jolokan mendalam ke dalam hidung dan boleh mengeluarkan keputusan dalam masa kurang seminit?

Kedengaran seperti terlalu bagus untuk menjadi kenyataan tetapi seorang pakar ekonomi berkata, “breathalyser” (alat untuk mengukur kandungan kimia dalam pernafasan) koronavirus yang sedang digunakan oleh Indonesia dan Singapura adalah secekap itu dan dia juga menyarankan Putrajaya menelitinya.

Alat itu dapat mengesan virus dalam pernafasan dalam masa kurang seminit apabila seseorang itu batuk ke dalamnya. Pengujian yang kerap akan membantu mengekang penularan kerana kerajaan tidak lagi boleh bergantung kepada sekatan menyeluruh, kata Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak.

Beliau merujuk kepada laporan akhbar Singapura, The Straits Times, mengenai GeNose C19 yang dikembangkan oleh penyelidik di Universiti Gadjah Mada, Yogyakarta, dan diedarkan di tempat awam di Indonesia seperti lapangan terbang, stesen kereta api dan hospital, selepas kementerian kesihatannya meluluskan penggunaan.

Setiap ujian berharga antara RM3 dan RM4.

Reuters melaporkan sebuah syarikat di Singapura juga mengembangkan ujian “breathalyser” untuk koronavirus baharu yang menurutnya akan membolehkan seseorang mengetahui sama ada dijangkiti, dalam masa kurang seminit.

Breathonix, syarikat “startup” dari Universiti Nasional Singapura, dilaporkan berkata, ujiannya mencapai ketepatan lebih daripada 90% dalam percubaan klinikal permulaan yang melibatkan seramai 180 orang di Singapura dan berharap untuk mendapatkan kelulusan pengawalseliaan awal tahun ini.

Barjoyai berkata, kerajaan boleh meminta penyelidik Malaysia melihat alat tersebut untuk menentukan ketepatannya.

“Kami (kerajaan) mungkin bersikap keterlaluan dalam melanjutkan PKP (perintah kawalan pergerakan). Ini benar-benar strategi yang salah kerana PKS (perusahaan kecil dan sederhana) hampir lumpuh. Ini adalah masalah serius dan (kadar) pengangguran akan meningkat,” katanya kepada FMT.

Barjoyai berkata, kerajaan akan dapat mengetahui lokasi kes dan boleh menggunakan alat tersebut bagi mereka yang keluar masuk kawasan perumahan atau komersial.

“Sekiranya terbukti berkesan, mereka yang (mendapat keputusan) positif boleh pulang dan segera mengasingkan diri atau mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau juga berharap Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menghasilkan SOP yang tepat supaya perniagaan kecil, restoran, salun dan pusat membeli-belah dapat beroperasi untuk mengelakkan lebih banyak perniagaan ditutup semasa pusingan kedua PKP.

“Perniagaan sedang bergelut,” katanya.

Pada Okt 2020, persatuan PKS Malaysia berkata, sehingga satu perempat daripada PKS di negara ini berisiko tutup dalam masa beberapa bulan akan datang kerana pandemik Covid-19. Terdapat lebih daripada 900,000 PKS di Malaysia, yang menggaji ribuan rakyat.

Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye juga memberitahu FMT, Malaysia boleh menilai ketepatan “breathalyser” itu.

“Secara teorinya, tidak mustahil untuk menguji kehadiran koronavirus melalui batuk, bukannya calitan,” kata beliau.

Lee meminta pengujian dilakukan dalam tempoh 48 jam pertama dari kes yang disahkan, dengan menyatakan itu adalah satu-satunya cara untuk mengekang penularan Covid-19.

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh bergantung kepada PKP kerana jumlah kes mungkin akan meningkat lagi selepas ia tamat.

Ahli ekonomi Yeah Kim Leang memberi amaran mengenai PKP kali ini, sambil menambah, ia akan melembabkan pemulihan ekonomi memandangkan pergerakan terhad semasa musim perayaan Tahun Baharu Cina.

“Biasanya, orang akan lebih berbelanja dalam tempoh ini, dan PKP akan paling teruk menjejaskan peniaga, peruncit, salun, warung, dan orang miskin.

“Pemain utama industri yang terlibat dalam pengeksportan barang mungkin tidak akan terjejas,” katanya kepada FMT.

Dari segi pengeluaran, profesor Universiti Sunway itu berkata, pengilang dibenarkan beroperasi, dan dengan permintaan eksport elektrik dan elektronik 9% lebih tinggi, dan 3% untuk sektor pembuatan, mereka tidak akan menghadapi impak.

“Mereka akan dapat mengimbangi sebahagian daripada impak PKP, kecuali yang mempunyai kluster tempat kerja tetapi itu sementara dan akan pulih,” katanya.

Bagaimanapun, Yeah berkata pengangguran mungkin meningkat di kala PKS berjuang untuk bertahan dan mengurangkan tenaga kerja mereka selepas subsidi gaji RM600 berakhir pada Mac. Beliau mencadangkan pelanjutan program subsidi gaji mungkin idea yang baik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here