PETALING JAYA, 5 Feb: Dengan kadar denda yang dinaikkan, persatuan pengguna mahu jaminan supaya kerajaan tidak mengamalkan “double standard” dengan bersikap tegas terhadap mereka yang melanggar peraturan Covid-19.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) Jacob George, meminta jaminan kerajaan supaya tidak akan menaikkan denda ke atas rakyat biasa. Beliau juga mahu lebih banyak kempen kesedaran dijalankan.

Beliau berkata, terlalu banyak kes “double standard” yang dipraktikkan antara rakyat biasa dan ahli politik, yang perlu dihentikan jika kerajaan serius dengan rancangannya untuk mengekang penyebaran Covid-19.

“Apa yang kita cakap, kita kena buat,” katanya kepada FMT.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan, kerajaan akan mengenakan denda lebih tinggi terhadap pesalah PKP yang berulang dan memberi amaran mengenai penutupan perniagaan dan tempoh penjara bagi mereka yang melanggar SOP.

Tetapi George berkata, ini mungkin tidak akan menghentikan pegawai penguat kuasa menerima sogokan di lapangan.

“Ada mangsa yang akan tampil untuk berbincang,” kata George.

Walaupun CASSA menentang kenaikan denda kepada rakyat biasa, persatuan itu menyambut baik langkah mengenakan denda yang berat kepada syarikat, sambil menambah tidak sepatutnya ada kompromi terhadap pemain industri yang melanggar SOP atau yang berdegil.

Katanya, kes Covid-19 di tempat kerja meningkat dengan Malaysia mencatat lebih 5,000 kes setiap hari.

Beliau juga berkata, negara memerlukan kejelasan dan konsistensi selagi mana SOP masih dijaga kerana walaupun semasa darurat dan PKP, jalan raya dipenuhi kereta.

Terdapat juga ramai penjaja dan “apa yang kerajaan katakan dan apa yang berlaku di lapangan itu nampaknya bertentangan”.

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berkata, kenaikan denda dan kompaun mungkin tidak menyelesaikan masalah.

Presidennya Marimuthu Nadason berkata, sebarang “double standard” tidak sepatutnya berlaku antara peraturan bagi rakyat dan ahli politik, kerana rakyat yang susah juga turut didenda.

“Rakyat didenda. Kami ada terima laporan bahawa keluarga menderita kerana mereka tidak ada wang,” katanya kepada FMT.

Beliau turut meminta satu pendekatan lebih lembut terhadap syarikat jika pekerja asing mereka tidak mengikut peraturan kerana tidak tahu. Katanya, ada keperluan untuk memberikan kesedaran.

Ketika ini, denda maksimum bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342) adalah RM1,000 bagi individu dan syarikat. Kerajaan merancang meminda undang-undang menggunakan Ordinan Darurat untuk menaikkan kadar denda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here