PUTRAJAYA, 6 Feb — Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengenal pasti beberapa negara, antaranya Brunei, Singapura, Thailand serta Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand, sebagai negara berpotensi untuk dibabitkan dalam gelembung perjalanan dengan Malaysia.

Sehubungan itu, Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata pihaknya mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Luar bagi meneliti potensi tersebut. 

Beliau berkata negara-negara berkenaan dikenal pasti sebagai selamat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

“Pelaksanaan ini bagaimanapun tertakluk kepada perbincangan dua hala dan pertimbangan mengenai  aspek kesihatan, imigrasi, pengesanan data dan pemantauan berterusan oleh agensi yang berkaitan bagi  kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata sebagai Pengerusi Suruhanjaya bagi Rantau Asia Timur & Pasifik dalam Jawatankuasa Krisis Pelancongan Global, Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bersatu (UNWTO), Malaysia turut menyuarakan cadangan ketelusan dan penyeragaman prosedur operasi standard merentas sempadan oleh negara-negara yang selamat, bagi memudahkan perjalanan dengan mengambil kira pandangan agensi-agensi kesihatan negara terlibat. 

Sementara itu, Nancy berterima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kejayaan beliau mendapatkan kesepakatan Indonesia dalam membenarkan Gelembung Perjalanan Laluan Hijau Timbal Balik/ Aturan Koridor Perjalanan (RGL/TCA).

“Alhamdulillah, ini merupakan berita baik dan ditunggu-tunggu MOTAC,” katanya.

Nancy berkata inisiatif itu merupakan antara pelan pemulihan pelancongan dan kebudayaan MOTAC yang dirangka sejak Julai tahun lalu sebagai langkah merancakkan semula industri pelancongan dan kebudayaan negara.

Semalam, Muhyiddin mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) dan antara isu yang dibangkitkan dalam pertemuan empat mata itu ialah  pelaburan dan perdagangan, pelaksanaan RGL, diskriminasi minyak sawit dan kerjasama dalam menangani COVID-19 serta pergolakan politik semasa di Myanmar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here