PETALING JAYA, 16 Feb: Seorang timbalan menteri menggesa rakyat untuk menerapkan rangka tindakan perpaduan negara baharu kerajaan, dengan mengatakan ia adalah “langkah ke hadapan” bagi negara.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara Ti Lian Ker berkata, pelan tindakan itu berfungsi sebagai “panduan” kepada rakyat dan mengecualikan ahli politik daripada usaha itu.

“Selama beberapa dekad, Barisan Nasional berfungsi sebagai platform untuk menyelesaikan banyak masalah dihadapi masyarakat,” kata beliau.

Kata Ti, walaupun orang ramai tidak maklum tentang apa yang dibincangkan pemimpin BN, banyak masalah diselesaikan melalui permuafakatan selepas perbincangan dengan pemimpin pakatan daripada semua komuniti.

Beliau mendakwa, “banyak perkara berubah” bawah pentadbiran bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan banyak keputusan tidak melalui BN.

Kata beliau, ketika mekanisme gagal, tidak ada alternatif, dan hubungan kaum merosot disebabkan provokasi ejen dan media sosial.

“Kita perlu mengembalikan semangat inklusif dan penyesuaian, tetapi berbanding melakukannya melalui kerangka kerja politik, kita melihat rangka tindakan yang dipandu oleh Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

“Kita tidak boleh menyerahkan perpaduan negara kepada ahli politik. Kita perlu ambil alih daripada (ahli politik) dan mulakan dengan rakyat,” kata beliau, sambil menambah, sementara kementerian mempelopori inisiatif itu, terpulang kepada rakyat untuk bertindak balas dan menjadikan rangka tindakan itu kenyataan.

Beliau berkata, semua pihak mesti mempunyai kefahaman yang sama dan berwaspada terhadap mereka yang mengancam perpaduan antara rakyat.

Menteri Kanan (Kerja Raya) Fadillah Yusof berkata, pemimpin negara harus tegas menentang mereka yang ingin “membina sempadan” dalam kalangan rakyat yang pelbagai dan memisahkan mereka.

“Kepelbagaian bersifat neutral dan dengan sendirinya tidak boleh membahayakan kita sebagai individu atau sebagai bangsa. Ia hanya dapat digugat dengan pengenalan elemen ketakutan – bahawa kita, sebagai rakyat, mempunyai alasan untuk saling takut dengan diri masing-masing.”

Fadillah berkata, mereka yang berusaha mencetuskan rasa takut dalam kalangan rakyat mengklasifikasikan perbezaan orang lain sebagai “kesalahan”, bukannya meraikannya, malah mengkritik dan mengutuk orang lain.

“Kepelbagaian adalah sebahagian daripada sejarah kita dan mesti menjadi masa depan kita. Kita mesti selamanya menjadi negara yang inklusif. Sekali dilebur, kita menjadi satu jisim, dan hanya boleh menjadi satu masyarakat,” kata beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here