MELAKA, 19 Feb — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka memeriksa 3,748 premis perniagaan meliputi semua lapisan perniagaan iaitu peruncit, pemborong, pengilang dan peladang dalam tempoh 1 Jan hingga 18 Feb.

Pengarahnya Norena Jaafar berkata dalam tempoh sama juga, sebanyak 32 kes telah direkodkan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM15,781.15 atas pelbagai kesalahan di bawah undang-undang KPDNHEP.

Beliau berkata kompaun berjumlah RM3,100 juga telah dikeluarkan melibatkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Akta Timbang Sukat 1972.

“Selain itu, sebanyak tujuh notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 telah dikeluarkan sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina yang berakhir pada 16 Feb lepas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Norena berkata peniaga diminta mengamalkan etika perniagaan yang baik dan membantu kerajaan menangani penipuan serta penindasan dalam perniagaan, manakala pengguna pula diminta menjadi mata dan telinga KPDNHEP dengan melaporkan sebarang salah laku berkaitan perdagangan dan isu kepenggunaan yang berlaku.

Katanya sebarang pertanyaan lanjut atau aduan boleh disalurkan ke Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDNHEP Negeri Melaka di talian 06-2345869 yang beroperasi setiap hari bermula 8 pagi hingga 6 petang atau hubungi ECC KPDNHEP Putrajaya (03-88826088) yang beroperasi 24 jam setiap hari.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here