KULIM, 26 Feb  — Sebanyak 29,042 unit penginapan pekerja melibatkan 3,652 majikan, diperiksa di seluruh negara sejak awal bulan ini bagi memastikan penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) dipatuhi.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata daripada jumlah itu 317 kertas siasatan dibuka untuk tindakan lanjut, antara lain kerana kegagalan menyediakan penginapan selesa dan kondusif untuk pekerja bagi mengekang penularan COVID-19.

“Kita memfokuskan kesihatan (pekerja) serta punca apabila berlaku penularan COVID-19 ini, dan penguatkuasaan Akta 446 ini sebagai salah satu usaha kerajaan untuk memerangi COVID-19 di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi bersepadu di dua premis di sini hari ini.

Antara agensi yang turut terlibat dalam operasi hari ini ialah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Jabatan Kesihatan Negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Jabatan Imigresen Malaysia serta Majlis Perbandaran Kulim (MPKK).

Mengenai operasi itu, Awang berkata kedua-dua premis itu tidak merekodkan sebarang kemalangan sepanjang tahun lepas dan pihak premis juga melantik koordinator keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) untuk menguruskan isu-isu keselamatan.

Sementara itu di SEREMBAN, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Sembilan membuka tiga kertas siasatan terhadap majikan sebuah kilang di Sungai Gadut, di sini kerana didapati tidak mematuhi akta sama.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, J. Arul Kumar berkata, pemeriksaan di premis penginapan pekerja kilang itu telah dilakukan pada 9 Feb lepas sebelum 1,432 orang pekerjanya disahkan positif  COVID-19, dua hari lepas.

Sebelum itu, Arul Kumar berkata 11 kertas siasatan dibuka terhadap majikan di negeri ini dengan majoriti terdiri daripada sektor pengilangan dan pembinaan sejak Akta 446 dikuat kuasa 1 Sept tahun lepas.

Sementara itu, katanya kerajaan Negeri telah meluluskan Garis Panduan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja Yang Disediakan Oleh Majikan di Negeri Sembilan bagi menyelesaikan pelbagai isu termasuk masalah penginapan pekerja asing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here