GEORGE TOWN, 16 Mac– Kerajaan negeri Pulau Pinang mencadangkan agar kerajaan persekutuan mempercepat pemberian vaksin kepada mereka yang bekerja atau berkhidmat dalam sektor perkilangan di negeri ini menerusi Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata cadangan itu berikutan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) hingga 14 Mac, sebanyak 12 daripada 19 kluster aktif di Pulau Pinang adalah melibatkan sektor perkilangan.

“Justeru, dengan pelaksanaan berkaitan, adalah turut dipersetujui oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bahawa inisiatif tersebut berkemungkinan besar mampu menurunkan kadar jangkitan kes-kes di negeri ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata cadangan itu telah diutarakan pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN): Pengurusan COVID-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi sidang video semalam dan telah memperoleh maklum balas positif daripada ahli-ahli mesyuarat lain.

Chow berkata beliau turut dimaklumkan dalam mesyuarat itu, sehingga 14 Mac 2021, KKM melaporkan bahawa R-naught (R-t) kebangsaan adalah berjumlah 0.87 manakala bagi negeri Pulau Pinang, 1.05 iaitu kadar yang masih tinggi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here