PETALING JAYA,22 Mac: Seorang pemimpin Umno menolak pandangan penganalisis politik Mohammad Agus Yusoff bahawa parti itu lebih beruntung jika bersama Pakatan Harapan (PH), termasuk mendapat kedudukan paling kanan dalam kerajaan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Razlan Rafii berkata, parti itu bukan sahaja perlu melihat kepada keuntungan politik, sebaliknyamengambil kira kepentingan bangsa dan negara.

Katanya, orang Melayu sudah mula selesa dengan kerjasama Umno dan PAS dan parti itu melalui Barisan Nasional (BN) bakal kehilangan sokongan sekiranya ia bekerjasama dengan PH yang turut disertai DAP.

“Dalam masa kita bangkit semula selepas PRU14, rakyat melihat perjuangan mempertahankan orang Melayu dan Islam menjadi titik pertemuan antara PAS dan Umno, malah ia menggerunkan kerajaan PH pada ketika itu.

“Nilai kebangkitan ini tidak boleh dibeli di tepi jalan, ia datang kerana rakyat melihat kita ikhlas dalam perjuangan.

“Adakah ia akan terus kekal sekiranya Umno bersama DAP? Orang Melayu yang sokong BN akan lari.

“Kita (Umno) perlu berfikir panjang dan melihat keseluruhan keadaan, untung rugi politik, untung rugi bangsa dan paling utama, untung rugi negara,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, Umno adalah parti yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera serta menjaga kedudukan Islam.

“Ia adalah asas yang dihormati oleh rakan komponen BN selama ini,” katanya.

Katanya, Umno sebenarnya sudah berada di kedudukan paling kanan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan sekiranya itu matlamat yang hendak dikejar, maka ia tidak memerlukan PH.

Beliau mengulas kenyataan Agus yang berkata slogan yang digunakan oleh Umno sebelum ini, iaitu “No Anwar, No DAP” bagi menolak kerjasama bukanlah model politik terbaik untuk parti itu

“Slogan ‘No Anwar, No DAP’ tidak membawa Umno ke mana-mana, sebaliknya langkah membuka kerjasama baharu dengan PH boleh menguntungkan Umno.

“Umno dengan PAS sekadar mendapat jawatan kecil (dalam kerajaan PN), tetapi jika dengan PH, Umno akan mendapat jawatan lebih kanan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here