PUTRAJAYA, 31 Mac -- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersatu dan Perikatan Nasional Negeri Johor hari ini. Turut kelihatan Setiausaha Bersatu Johor yang juga ADUN Bukit Kepong Datuk Dr Sahruddin Jamal (kanan). --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA PUTRAJAYA, March 31 -- Prime Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin (center) who is also the President of Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) after chairing the Johor State BERSATU and Perikatan Nasional Meeting today. Also present Johor BERSATU Secretary and Bukit Kepong assemblyman Datuk Dr Sahruddin Jamal (right). --fotoBERNAMA (2021) COPYRIGHTS RESERVED

PUTRAJAYA, 31 Mac — Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pendirian PAS untuk kekal bersama Bersatu adalah sebagai semangat setiakawan yang utuh. 

Perdana Menteri, yang juga Presiden Bersatu, berkata semangat tersebut sekali gus membantu Perikatan Nasional (PN) merangka hala tuju yang jelas termasuk persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Kita (Bersatu dan PAS) bertekad supaya apa sahaja situasi, kita akan bersama-sama. Kenyataan bersama Bersatu dan PAS hari ini menampakkan komitmen kami terhadap hala tuju dua parti ini dalam PN.

“Apapun yang berlaku, itu soal UMNO tetapi dari sudut kerjasama Bersatu dan PAS, hala tuju jelas dengan terbentuknya Jawatankuasa Permesyuaratan di peringkat pusat bagi merangka strategi parti khususnya menghadapi PRU15, termasuk rundingan pengagihan kerusi,” katanya.

Muhyiddin, yang juga Pengerusi PN, berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Bersatu Johor dan PN Johor secara berasingan di sebuah hotel di sini, hari ini.

Bersatu dan PAS hari ini mengeluarkan kenyataan bersama menyatakan kesepakatan untuk terus mengukuhkan kerjasama dalam PN bagi menghadapi PRU15 termasuk bertegas menolak sebarang bentuk ‘penjajaran baharu’ untuk menubuhkan kerajaan pasca-PRU15 terutamanya melibatkan Pakatan Harapan dan sekutunya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata bagi mengekalkan kesepakatan itu, agihan kerusi Parlimen pada PRU15 menjadi agenda utama PN.

Mengenai mesyuarat PN Johor pula, beliau berkata gabungan itu telah membincangkan mengenai rundingan bagi menyelesaikan struktur pembahagian kerusi di Parlimen Johor.

“Struktur pembahagian kerusi dirunding bagi mengenal pasti sama ada Bersatu, PAS atau Gerakan yang akan mengetuai. Tetapi keputusan muktamad akan dibuat oleh pimpinan di peringkat nasional,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pagoh.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here