KUALA LUMPUR, 12 April  — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tulisan jawi adalah sebahagian daripada identiti negara yang bukan sahaja perlu dipertahankan tetapi diperkasakan kembali sebagai pemangkin kepada perpaduan melalui seni dan warisan.

Sehubungan itu, beliau berkata Pameran Jawi Jiwa Bangsa, Seni Tonggak Budaya anjuran Yayasan Budi merupakan suatu langkah yang tepat dan perlu diperluaskan ke seluruh negara.

“Tentunya sebagai sebuah negara bangsa, kita tidak mahu kehilangan identiti dan dalam hal ini, semangat, roh serta perkembangan tulisan jawi ini mesti sentiasa dihidupkan.

“Istilah adat istiadat di situ adalah budaya Melayu. Usaha penganjur pada hari ini merupakan langkah mulia dalam memperjuangkan hak-hak asasi budaya dan warisan Melayu sebagai jati diri dan warisan nasional.

“Saya yakin apabila pameran ini dan usaha-usaha promosi lainnya digembleng kemudian di kawasan-kawasan negeri di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak, potensi untuk memupuk skrip jawi ke tahap dan penerimaan semula masyarakat amat diyakini sifat positifnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran buku Budi Asas Tamadun dan Pameran Jawi Jiwa Bangsa, Seni Tonggak Budaya di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), hari ini yang turut dihadiri Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here