KUALA LUMPUR, 15 April — Jumlah individu yang mendapatkan khidmat bantuan bagi pendaftaran vaksin COVID-19 di 873 Pusat Internet Komuniti (PIK) seluruh negara mencecah lebih 5,000 orang setakat ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek.

Beliau berkata inisiatif dimulakan pada awal April itu bagi membantu orang awam terutama warga emas yang menghadapi kesukaran mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera serta tidak mempunyai liputan internet yang memuaskan di kawasan masing-masing.

“Kita galakkan orang ramai untuk datang ke PIK bagi khidmat bantuan pendaftaran vaksinasi, kita beroperasi tujuh hari seminggu, dari pagi hingga petang,” katanya selepas menjadi tetamu program “The Nation: Jendela-Second Quarterly Report” terbitan Bernama TV hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya amat komited dalam memastikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berjalan lancar melalui inisiatif berkenaan yang bertujuan meningkatkan pendaftaran program vaksinasi.

Sebelum ini, MCMC memaklumkan kakitangan PIK yang bertugas sepenuh masa di situ akan membantu melicinkan proses pendaftaran. Terdapat juga paparan poster di PIK mengenai pendaftaran vaksin COVID-19 melalui MySejahtera bagi makluman orang awam.

Jumlah pendaftaran untuk program vaksinasi itu setakat semalam adalah sebanyak 8,760,857 atau 36.10 peratus dengan Selangor merekodkan angka tertinggi melibatkan 2,319,791 pendaftaran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here