KUALA LUMPUR, 22 April  — Sebuah institusi pendidikan masing-masing di Kelantan dan Johor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai esok hingga 6 Mei berikutan peningkatan kes COVID-19 secara mendadak.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata institusi pendidikan terlibat ialah Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Asriah, Banggol Chicha di Pasir Mas, Kelantan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Johor Bahru, di Johor.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan 228 ujian saringan di SMKA Johor Bahru dan daripada jumlah itu sebanyak 13 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

“Sementara di Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Asriah, sebanyak 46 ujian saringan dilaksanakan dengan 28 kes positif COVID-19 telah direkodkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pelaksanaan PKPD itu dibuat bagi memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terlibat selain tindakan pengawalan jangkitan dan seterusnya mengekang penularan jangkitan COVID-19 ke komuniti luar.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan penamatan dua PKPD di Sabah dan satu di Pahang mulai esok (23 April) susulan penurunan kes baharu COVID-19, tiada lagi sampel ujian menunggu keputusan serta kluster terkawal.

Penamatan PKPD di Sabah melibatkan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Sandakan, Taman Permata dan Taman Seri Labuk di daerah Sandakan dan Kampung Gayang, Tuaran manakala di Pahang membabitkan Ladang Leepang, Ladang Laukin dan Kampung Inoi di Rompin.

Sementara itu, katanya 200 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) semalam, dengan 198 dikenakan kompaun manakala dua lagi direman.

Operasi Benteng pula katanya enam pendatang tanpa izin ditahan dan sembilan kenderaan darat turut dirampas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here