PUTRAJAYA, 27 April — Mana-mana pihak yang mahu menjadi golongan lebih awal untuk menerima vaksin COVID-19 termasuk pengamal media boleh mengemukakan permohonan kepada Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Katanya Kementerian Kesihatan (KKM) buat masa ini belum menerima sebarang senarai maklumat daripada pihak media dan sekiranya ada permohonan, KKM akan mengemukakannya kepada CITF untuk tindakan lanjut.

Menurut Dr Adham, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah disusun secara sistematik mengikut fasa yang ditetapkan, manakala permohonan untuk menerima vaksin awal akan dilakukan berdasarkan metrik dan kaedah tertentu oleh CITF.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas merasmikan Sambutan Hari Imunisasi peringkat kebangsaan di sini hari ini, susulan kenyataan Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Semenanjung Malaysia yang meminta penjelasan kerajaan dalam isu pemberian suntikan vaksin COVID-19 kepada pengamal media berikutan laporan yang mendakwa kakitangan sebuah organisasi media sudah menerima vaksin.

Sebelum ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata kerajaan telah bersetuju meletakkan pengamal media dalam senarai keutamaan menerima vaksin COVID-19, tertakluk kepada bekalan vaksin mencukupi.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here