KUALA LUMPUR, 30 April — Sistem perbankan tempatan mempunyai mudah tunai yang mencukupi pada Mac 2021 berikutan keadaan pendanaan yang stabil, demikian menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Menurut bank pusat itu sistem perbankan Malaysia terus mengekalkan penampan mudah tunai yang kukuh, dengan nisbah perlindungan mudah tunai kekal teguh bulan lepas pada 145.1 peratus berbanding 147.1 peratus pada Februari 2021.

“Profil pendanaan institusi perbankan juga kekal stabil berikutan pertumbuhan deposit runcit yang terus kukuh,” katanya dalam laporan Sorotan Bulanan bagi Mac 2021 yang dikeluarkan hari ini.

BNM memberi jaminan amalan pengurusan risiko yang mantap oleh institusi perbankan akan menyokong kualiti aset pada tempoh yang akan datang.

“Nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhan secara umumnya mampan masing-masing pada 1.6 peratus dan satu peratus.

“Institusi perbankan terus menyediakan peruntukan tambahan bagi menghadapi potensi kerugian kredit, yang kini berada pada kadar 1.8 peratus daripada jumlah pinjaman sistem perbankan,” katanya.

Dari segi pembiayaan bersih bagi bulan yang berkenaan, BNM berkata ia berkembang sebanyak 4.5 peratus pada Mac, mencerminkan peningkatan pertumbuhan bon korporat terkumpul, iaitu pada 5.9 peratus berbanding 4.5 peratus pada Februari, dan pertumbuhan pinjaman terkumpul 3.9 peratus berbanding 3.7 peratus pada bulan sebelum itu.

Mengenai pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul, bank pusat itu berkata ia meningkat kepada 5.7 peratus pada bulan lepas berbanding 5.1 peratus pada Februari, di mana pengeluaran pinjaman yang lebih tinggi dicatatkan oleh pembelian kereta dan hartanah kediaman.

Bagi sektor perniagaan, pinjaman terkumpul meningkat sebanyak 1.1 peratus pada Mac berbanding satu peratus pada bulan sebelum itu.

“Pada bulan tersebut, pengeluaran pinjaman dan pembayaran balik pinjaman yang lebih tinggi dicatatkan merentas kebanyakan sektor dan tujuan,” katanya.

Menurut bank pusat itu lagi, pasaran kewangan domestik terjejas oleh perkembangan luaran pada Mac, terutamanya oleh peningkatan dalam kadar hasil perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) jangka panjang, yang mencecah paras tertinggi bagi tahun ini pada akhir Mac berikutan jangkaan pertumbuhan dan inflasi yang lebih tinggi di AS. 

Kesannya, dolar AS turut bertambah kukuh, yang menyebabkan mata wang negara maju dan pasaran yang sedang pesat membangun lain secara keseluruhan menjadi lemah berbanding dolar AS.

“Pada bulan tersebut, ringgit menyusut nilai sebanyak 2.6 peratus berbanding dolar AS, sementara kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun meningkat sebanyak 18.3 mata asas.

“Petunjuk pasaran FBM KLCI merosot sebanyak 0.3 peratus, apabila kadar hasil bon meningkat dengan ketara dan sentimen pelabur terjejas akibat ketidakpastian yang berlarutan berhubung dengan perkembangan pandemik pada peringkat global, dan jangkaan bahawa dasar monetari AS akan bertambah ketat dengan lebih pantas,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here