KOTA BHARU, 1 Mei — Batalion ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas 3,932 unit vape bernilai RM117,960 dalam serbuan di pangkalan haram Paksu Rani, Rantau Panjang, Pasir Mas awal pagi tadi.

Pegawai Pemerintah Medan PGA7 Supt Azhari Nusi berkata sebelum serbuan dijalankan,  beberapa lelaki dilihat sedang memunggah kotak dalam keadaan mencurigakan di tebing Sungai Golok, pada kira-kira 2 pagi.

Bagaimanapun katanya kesemua lelaki terbabit melarikan diri dengan menaiki perahu ke negara jiran selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa dan pemeriksaan ke atas kotak-kotak terbabit menemukan peralatan menghisap vape yang disyaki akan diseludup ke Thailand kerana terdapat permintaan tinggi di sana.

“Kesemua barang dibawa ke Komtak Rantau Panjang untuk siasatan di bawah Seksyen 13(a) Akta Racun 1952,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu,  Azhari berkata PGA7 juga berjaya merampas sejumlah 7,705 kotak mercun bernilai RM60,100 di Kampung Lanchang, pada 3.30 pagi tadi.

Beliau berkata kesemua mercun itu ditemukan di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Pajero yang diletakkan di dalam semak dengan tidak berkunci.

“Kesemua barang termasuk kenderaan (RM20,000) bernilai RM80,100. Semua barang rampasan dihantar ke Komtak Taman Bakti, Rantau Panjang untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

Mengulas lanjut, Azhari berkata pihaknya mengesan kumpulan penyeludup kini memanfaatkan waktu bersahur untuk membawa masuk barangan ke negara ini tanpa menyedari taktik itu sudah dijangka lebih awal oleh anggota yang menjalankan Op Benteng.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here