KUALA LUMPUR, 3 Mei — Buat pertama kalinya Malaysia akan menampilkan dua pembawa bendera di Sukan Olimpik, yang dijadualkan dari 23 Julai hingga 8 Ogos di Tokyo Jepun.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria hari ini mengumumkan yang memberikan penghormatan itu kepada pemain badminton beregu campuran Goh Liu Ying dan pemanah Khairul Anuar Mohamad.

“Selepas mengambil kira beberapa faktor, Lembaga Eksekutif telah memilih Liu Ying dan Khairul Anuar,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu di Wisma MOM di sini hari ini.

Liu Ying, 31, dan pasangannya Chan Peng Soon, yang berkedudukan ketujuh terbaik dunia, akan menyertai Sukan Olimpik kedua mereka di Tokyo, selepas memenangi pingat perak ketika penampilan pertama di Rio 2016.

Khairul Anuar, 29, pemanah recurve, yang juga merupakan pemenang pingat perak Kejohanan Memanah Dunia 2019, akan berjuang untuk mendapatkan pingat pertamanya di Olimpik selepas menyertai London 2012 dan Rio 2016. Beliau juga menjadi pemanah pertama negara diberikan penghormatan tersebut.

Bekas pemain badminton nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei merupakan pembawa bendera di Rio, Pandelela Rinong di London 2012, manakala Mohd Azizul Hasni Awang pula di Beijing 2008.

Sementara itu Mohamad Norza berkata, MOM akan menganjurkan satu bengkel untuk kesemua atlet, jurulatih, persatuan sukan dan pemegang taruh berkaitan, yang terlibat dengan Olimpik Tokyo, sebagai persediaan berikutan buku panduan terkini dikeluarkan penganjur, yang termasuk langkah-langkah keselamatan lebih ketat bagi menangani penularan COVID-19.

“Pendekatan itu akan lebih ketat di bawah konsep gelembung dan pergerakan atlet amatlah terhad, malah mereka tidak boleh pergi ke pekan berdekatan. Tetapi apa yang kita mahukan ialah gelembung itu perlu bermula dari sini, sebelum kita bertolak. Terdapat perbincangan mengenai pergerakan dan kenderaan, sama ada akan menggunakan penerbangan disewa khas ataupun biasa. Perkara-perkara ini sedang dibincangkan bersama pemegang taruh berkaitan,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi kurang baik atlet terjun di Piala Dunia di Tokyo, Mohamad Norza berkata, penerjun perlu menyesuaikan diri kepada situasi pertandingan, kerana ini adalah kejohanan mereka yang pertama sejak latihan dan pertandingan diberhentikan akibat pandemik lebih setahun yang lepas, namun berharap mereka akan kembali ke prestasi terbaik pada Julai.

Mohamad Norza juga berkata, Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Vietnam 2021 telah mengesahkan senarai akhir 40 jenis sukan dan 526 acara, termasuk 28 acara baharu, manakala 30 acara dibatalkan.

“Daripada 10 acara yang kita rayu, mereka menerima acara kumite wanita 50 kilogram sukan Karate,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Setiausaha Agung OCM Datuk Mohd Nazifuddin Najib mengumumkan penyambungan kerjasama OCM dengan Yonex-Sunrise untuk satu lagi pusingan Olimpik dari 1 Sept ini hingga 31 Dis 2024.

Melalui kerjasama itu, Yonex-Sunrise akan menyediakan pakaian termasuk tracksuit, kemeja-t polo, peralatan termal, peralatan bagasi dan topi untuk kontinjen Malaysia untuk pelbagai temasya sukan, bermula dengan Sukan SEA Vietnam 2021 dan berakhir dengan Olimpik Paris 2024.

“Kami bangga untuk menjalin kerjasama dengan Yonex-Sunrise untuk empat tahun akan datang. Mereka telah menyediakannya kepada atlet dan pegawai kita di pelbagai temasya sukan selama dua pusingan Olimpik yang lepas dan kami berharap dapat bekerjasama dengan mereka pada temasya yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here