SEMPORNA, 9 Mei — Kesemua kontak rapat membabitkan kluster baharu COVID-19 di sini iaitu Kluster Keramat, selesai menjalani ujian saringan pertama hari ini, kata Pegawai Kesihatan Daerah Semporna Dr Shameer Khan Sulaiman.

Beliau berkata, kira-kira 100 ujian saringan dilakukan melibatkan kluster tersebut dan daripada ujian itu, 30 sampel masih tertunggak yang belum mendapat keputusan.

“Selepas itu, ujian saringan kali kedua pula akan dijalankan bagi memastikan kesemua terlibat dalam kluster ini negatif COVID-19,” katanya kepada Bernama.

Dr Shameer berkata pihaknya kini sedang fokus untuk memastikan penduduk segera mendaftar dalam program imunisasi disediakan kerajaan, dan memohon penduduk Semporna supaya terus mematuhi prosedur operasi standard bagi mengekang pandemik tersebut.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan 16 lagi kluster baharu COVID-19 di Malaysia termasuk Kluster Keramat, yang setakat ini melibatkan sembilan kes positif.

Media melaporkan kes indeks Kluster Keramat ialah seorang lelaki berusia 73 tahun di Mukim Tampi-Tampi, dilaporkan pengsan di kebun berhampiran rumahnya dan susulan ujian saringan ke atas keluarganya mendapati tujuh orang positif pandemik itu termasuk isterinya.

Tiga anggota keluarga positif itu merupakan guru beberapa sekolah rendah di sini dan saringan kontak rapat mengesan seorang guru di Sekolah Tampi-Tampi positif COVID-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here