KOTA BHARU, 25 Mei — Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) kini mengendalikan hampir 1,000 ujian sampel saringan COVID-19 setiap hari, kata Pengarahnya Datuk Dr Selasawati Ghazali.

Beliau berkata ujian yang dilakukan di makmal HRPZ II itu mula meningkat sejak April lepas.

“Sebelum ini, hanya 200 hingga 300 (sampel) diuji setiap hari, namun bermula April lalu jumlah ujian sampel meningkat hampir 1,000 setiap hari berikutan pertambahan bilangan pesakit hospital.

“Kakitangan hospital yang seramai 4,300 kini bertungkus-lumus 24 jam setiap hari disebabkan terpaksa menangani masalah berkaitan jangkitan COVID-19. Oleh itu, kita amat mengharapkan masyarakat agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana ia pasti dapat mengurangkan jangkitan,” katanya kepada pemberita di HRPZ II di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Selasawati berkata HRPZ II kini terpaksa mengehadkan jumlah peneman pesakit di hospital berkenaan bagi menyekat penularan jangkitan COVID-19.

Beliau berkata langkah tersebut diambil ekoran peningkatan kes COVID-19 dan hanya pesakit yang betul-betul memerlukan peneman akan dibenarkan seorang peneman yang telah disahkan bebas daripada gejala jangkitan pandemik itu.

“Mereka (peneman) perlu menjalani ujian saringan terlebih dahulu bagi memastikan negatif COVID-19.

“Sebelum ini, memang pihak hospital telah mengehadkan jumlah pelawat dan peneman bagi melindungi wad dan kini kita perlu memperketatkan lagi supaya tidak berlaku penularan jangkitan di hospital,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here