IPOH, 27 Mei — Semua premis makanan dan minuman di kawasan rehat dan rawat (R&R) Lebuh Raya PLUS Malaysia Bhd (PLUS) Gunung Semanggol di kedua-dua arah beroperasi setiap hari sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Mukim Bagan Serai, Kerian yang bermula hari ini.

Ketua Perhubungan Libat Urus Strategik PLUS Syed Mohammed Idid dalam kenyataan berkata kesemua premis makanan dan minuman itu beroperasi mulai pukul 8.00 pagi hingga 8.00 malam bagi pembelian makanan dan minuman secara bungkusan sahaja manakala makan di premis berkenaan adalah tidak dibenarkan. 

Katanya para pelanggan yang perlu melakukan perjalanan di lebuh raya dinasihatkan supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara susulan pelaksanaan PKPD bermula hari ini sehingga 9 Jun depan.

“Sementara itu semua premis makanan dan minuman di lain-lain lokasi R&R di sepanjang lebuh raya PLUS juga dibuka dan beroperasi mulai pukul 8.00 pagi hingga 8.00 malam untuk pembelian makanan dan minuman secara bungkusan sahaja. 

“Bagaimanapun semua kemudahan di R&R dan hentian sebelah seperti tandas awam dan surau dibuka selama 24 jam sehari,” menurutnya.

Beliau berkata mana-mana pihak yang mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenai waktu operasi kemudahan di lebuh raya PLUS  boleh melayari laman web PLUS di www.plus.com.my atau menerusi laman media sosial Facebook dan Instagram PLUS Malaysia atau twitter@plus2u.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here