KEPALA BATAS, 27 Mei — Sebuah tapak pembinaan perumahan di Mukim 6, Bertam Putra di sini, diarah tutup selama tujuh hari bermula hari ini kerana terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang sedang dijalankan ketika ini.

Pengarah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Pulau Pinang Zahidi Hashim berkata, selain itu penutupan tapak pembinaan tersebut juga bagi membolehkan pihaknya, menjalankan siasatan lanjut berhubung maklumat pekerja, kontraktor di situ.

Katanya, ia berikutan dianggarkan kira-kira 50 pekerja warga asing telah ‘hilang’ selepas pihak berkuasa mengadakan operasi bersepadu di tapak pembinaan tersebut, kira-kira pukul 11.30 pagi hari ini.

“Dalam operasi itu, CIDB mengeluarkan notis untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung tapak projek berkenaan daripada kontraktor, kerana wakil kontraktor hari ini memaklumkan terdapat 81 pekerja hadir, namun bilangan yang dapat dikumpul hanya 28 orang, jadi kami nak tahu apa terjadi kepada selebihnya.

“Pemeriksaan juga mendapati terdapat beberapa SOP PKP yang ditetapkan gagal dipatuhi, malah pihak kontraktor juga cuai bagi memastikan pekerja mereka menjalankan kerja mengikut prosedur yang telah ditetapkan, yang dikhuatiri boleh menyebabkan penularan wabak COVID-19,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu hari ini.

Operasi berkenaan disertai kira-kira 60 pegawai dan anggota dari pasukan Polis Diraja Malaysia, Majlis Bandaraya Seberang Perai, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Tenaga Kerja, dan CIDB.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya mengeluarkan kompaun bernilai RM20,000 selepas kontraktor didapati gagal mematuhi SOP PKP, antaranya gagal menyediakan kod QR MySejahtera dan pekerja tidak menjalani ujian saringan COVID-19.

“Kawasan mukim 6 ini ialah merupakan zon merah, dan terdapat peningkatan kes COVID-19, dan operasi hari ini bagi memastikan pihak kontraktor dan pekerja, mematuhi SOP PKP bagi memastikan tiada penularan wabak tersebut dalam kalangan pekerja pembinaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain Noorzainy berkata, pihaknya menahan 16 individu termasuk enam wanita  berusia 19 hingga 60 tahun, kerana terlibat dalam kegiatan judi loteri haram dan perjudian dalam talian, dalam operasi dijalankan di sekitar daerah itu, semalam.

Katanya dalam operasi itu, sebanyak 16  premis diperiksa sebelum menahan mereka yang dipercayai ejen dan pengendali kegiatan perjudian tersebut, serta siasatan mendapati ada dalam kalangan yang ditahan pernah ditahan kerana kesalahan sama sebelum ini, namun tidak serik kerana dipercayai mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit setiap bulan.

“Polis merampas beberapa alatan seperti slip kertas tercatit angka-angka disyaki judi loteri awam haram, dan pertaruhan lumba kuda, pencetak mini, telefon bimbit, alat tulis dan  wang tunai,” katanya.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here