PUTRAJAYA, 1 Jun — Hanya penginapan hotel untuk tujuan kuarantin, pengasingan dan pekerjaan bagi perkhidmatan perlu sahaja dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh mulai hari ini hingga 14 Jun, menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

MOTAC dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pihaknya telah mengeluarkan surat kebenaran beroperasi yang dapat diakses menerusi pautan dan e-mel.

Hotel yang berdaftar dengan MOTAC, boleh membuat semakan dan muat turun melalui: http://motac.gov.my/pkphotel manakala hotel tidak berdaftar dan berhasrat untuk mendapatkan kebenaran beroperasi, boleh menghantar e-mel nama hotel berserta sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta lesen pihak berkuasa tempatan melalui: plncovid19@motac.gov.my.

Menurut MOTAC, sebarang pertanyaan mengenai prosedur operasi standard (SOP) am bagi aktiviti pelancongan dan kebudayaan boleh dikemukakan menerusi e-mel ukc19@motac.gov.my dan hotline MOTAC 03-89117189.

MOTAC menegaskan sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh, semua aktiviti pelancongan dan kebudayaan termasuk penginapan berkonsep staycation dalam daerah sama tidak dibenarkan sama sekali.

“Sekatan dibuat bertujuan membendung penularan wabak pandemik COVID-19. Selain akur dengan arahan tersebut, MOTAC sentiasa berusaha mencari jalan terbaik untuk menjaga kepentingan pihak industri terjejas,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here