JOHOR BAHRU, 7 Jun — Penerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin AstraZeneca (PPVAZ) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (Persada) di sini yang mula beroperasi hari ini, berpuas hati dan memuji kelancaran serta kemudahan disediakan di pusat berkenaan.

Mereka terdiri daripada golongan warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan berpenyakit kronik serta berdaftar secara sukarela untuk mendapatkan vaksin AstraZeneca, rata-rata menyifatkan proses pemberian vaksin itu sangat teratur dan pantas, selain penerangan jelas diberikan petugas kesihatan.

Penerima vaksin, Idris Ahmad, 67, berkata kemudahan di PPVAZ Persada seperti tempat letak kereta, laluan kerusi roda, ruangan menunggu selain pasukan keselamatan dan sukarelawan yang disediakan sangat membantu, malah tidak menyangka dia dan isterinya dapat melengkapkan proses vaksinasi itu hanya dalam tempoh kurang satu jam.

Idris yang menjadi orang pertama menerima vaksin pada hari ini berkata dia dan isteri Azmah Harun, 64, tiba di PPVAZ itu pada 7.45 pagi menaiki kenderaan yang dipandu anaknya dari Taman Peserai, Batu Pahat.

“Syukur tidak sangka proses vaksinasi berjalan lancar, cepat dan teratur. Arahan diberikan juga sangat jelas. Petugas juga banyak membantu untuk tunjuk arah dan proses ke tempat vaksin, semuanya selesa dan kita tidak berpanas,” katanya kepada pemberita selepas menerima suntikan tersebut.

Ditanya faktor yang mendorong beliau dan isterinya mendapatkan vaksin itu, Idris yang merupakan pesara guru berkata selain urusan pendaftaran dilakukan oleh anaknya melalui pautan https://www.vaksincovid.gov.my/  beliau juga mahu melindungi diri serta keluarganya secepat mungkin.

Bagi Azmah, selain berkerusi roda dan tidak mampu berjalan, dia berasa lega dan sangat bertuah kerana mendapat tarikh janji temu suntikan vaksin COVID-19 pada hari dan waktu yang sama dengan suaminya di PPVAZ Persada.

“Saya dan suami dapat laluan pantas. Kemudahan sangat mesra OKU dan warga emas, kami seperti diraikan apabila melalui stesen-stesen di pusat vaksin ini. Saya akan ceritakan pengalaman ini kepada rakan-rakan supaya mereka hilang rasa takut dan bimbang untuk ambil vaksin,” kata Azmah yang juga pesara guru.

 Effendy Bala Abdullah, 71, yang kehilangan kedua-dua kaki akibat penyakit kencing manis dan kemalangan jalan raya empat tahun lepas mengakui tidak cemas ketika diberikan suntikan itu dan menyifatkan ia seperti suntikan vaksin lain yang pernah diambil sebelum ini.

Effendy, seorang bekas tentera turut menasihatkan orang ramai terutamanya golongan warga emas yang mengalami komorbiditi digalakkan untuk mendaftar dan mengambil vaksin kerana risiko jangkitan COVID-19 adalah tinggi kepada golongan berkenaan.

Sebanyak 500 dos suntikan vaksin AstraZeneca akan disediakan di PPVAZ Persada sehari, pada hari ini dan esok, sebelum ditingkatkan kepada 3,000 dos suntikan vaksin jenis itu sehari untuk tempoh dari 9 Jun hingga 27 Julai.

Untuk rekod, kira-kira 133,000 orang akan menerima suntikan vaksin di PPVAZ secara berperingkat, bermula hari ini hingga 27 Julai depan. 

Terdahulu, tinjauan Bernama mendapati penerima vaksin mula tiba di perkarangan PPVAZ Persada kira-kira 7.45 pagi dan tiada kesesakan lalu lintas selain orang ramai tidak beratur panjang di dalam atau luar bangunan untuk memasuki ke laluan stesen pertama hingga ke stesen lima pusat vaksin berkenaan.

Semua penerima harus melalui lima stesen iaitu saringan suhu dan MySejahtera di stesen pertama sebelum mengisi borang vaksinasi di stesen kedua dan kemudian menunggu di ruangan disediakan sementara nama dipanggil.

Sejurus nama penerima vaksin dipanggil, mereka akan ke stesen ketiga iaitu tempat konsultasi dan kebenaran sebelum menerima vaksin di stesen keempat dan duduk di stesen kelima untuk pemerhatian selama 15 atau 30 minit, bergantung kepada penilaian petugas.

Proses vaksinasi di PPVAZ berjalan lancar dengan dikawal petugas keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here