TELUK INTAN, 9 Jun  — Pemilik sebuah kilang memproses padi di Langkap di sini dikompaun RM10,000 hari ini kerana membenarkan kehadiran pekerja melebihi 60 peratus semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata selain itu, seorang pekerja kilang pakaian dikompaun RM1,500 kerana gagal mengimbas kod melalui aplikasi MySejahtera.

Beliau berkata kedua-dua kesalahan itu dikesan menerusi operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 sektor perkilangan dan pembuatan selama empat jam bermula 11 pagi tadi ke atas 11 kilang di sekitar Langkap.

“Operasi ini dilakukan bagi memastikan sektor perkilangan dan pembuatan mematuhi SOP ditetapkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Majlis Keselamatan Negara sepanjang tempoh PKP.

“Kita juga memberi nasihat dan cadangan kepada pihak sektor perkilangan bagi penambahbaikan pengurusan pencegahan jangkitan COVID-19 dalam kalangan pekerja,” katanya yang ditemui pemberita selepas operasi berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai operasi itu, beliau berkata pihaknya mendapati tiada sebarang kilang atau syarikat beroperasi tanpa kebenaran atau diarah tutup.

Operasi itu melibatkan 62 pegawai dan anggota polis bersama penguat kuasa termasuk daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Majlis Perbandaran Teluk Intan, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here