BATU PAHAT, 13 Jun — Polis menahan empat individu termasuk seorang wanita disyaki terlibat dalam kes pengedaran dadah selain merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM49,000 dalam tiga serbuan berasingan iaitu di Simpang Renggam, Kluang dan sekitar daerah ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata kesemua warga tempatan yang berumur antara 30 dan 40 tahun itu ditahan hasil daripada maklumat dan risikan pasukan polis dalam operasi yang bermula dari 7.30 pagi hingga 8 malam.

“Hasil daripada tangkapan tersebut polis merampas dadah disyaki jenis syabu seberat 284.45 gram, heroin seberat 572.45 gram dan eramin 5 seberat 14.5 gram yang dianggarkan berjumlah RM49,320.75.

“Turut dirampas sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan wang tunai sebanyak RM1,500,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Beliau berkata keempat-empat individu yang mempunyai pelbagai rekod jenayah dan dadah itu direman selama tujuh hari sehingga 19 Jun untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here