KUALA LUMPUR, 25 Jun — Leong Hup International Bhd (LHI) menyasarkan untuk mempunyai 280 cawangan Baker’s Cottage di Malaysia menjelang akhir 2023 dan rangkaian kedai roti itu dijangka akan menyumbang RM400 juta atau sekurang-kurangnya enam peratus daripada hasil kumpulan pada tahun berkenaan.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Lau Tuang Nguang berkata syarikat itu yakin sasaran tersebut dapat dicapai memandangkan kumpulan itu sentiasa merekodkan kemajuan dalam pembukaan cawangan dan angka jualan. 

Di sebalik pandemik COVID-19, pendapatan kumpulan adalah stabil sebanyak RM6.04 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Dis 2020 berbanding RM6.05 bilion yang dicatatkan dalam tahun sebelumnya. 

“Pertumbuhan Baker’s Cottage berjalan seperti yang dirancang dan itu adalah petanda yang baik untuk syarikat. 

“Melihat kepada 280 cawangan menjelang 2023, kami percaya RM400 juta setahun dalam sumbangan hasil oleh Baker’s Cottage mampu dicapai,” katanya semasa taklimat media maya selepas mesyuarat agung tahunan kumpulan yang ketujuh hari ini. 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi Malaysia Lau Joo Han berkata sejumlah 136 cawangan telah dibuka setakat ini dan kumpulan itu menyasarkan 160 cawangan Baker’s Cottage menjelang akhir 2021. 

”Mulai Mei tahun lepas sehingga hari ini, kami telah menambah sehingga 95 cawangan dalam masa hanya setahun. Kami berharap menjelang akhir tahun ini kami akan dapat meraih RM200 juta hasil untuk Baker’s Cottage,” katanya.   

Keuntungan bersih LHI bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2021 (Q1 2021) menokok kepada RM70.33 juta daripada RM21.79 juta yang direkodkan pada suku yang sama tahun lepas. 

Dengan persekitaran operasi serta program vaksinasi COVID-19 yang mencerminkan kemajuan di seluruh rantau ini, tanpa mengira keadaan yang tidak diduga, syarikat optimis dengan prestasinya pada 2021.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here