KUALA TERENGGANU, 3 Julai  — Penduduk Hulu Terengganu kini boleh menikmati jaringan telekomunikasi yang lebih baik dengan liputan 4G selepas tiga menara komunikasi baharu telah siap dan beroperasi sepenuhnya pada 31 Mei lepas.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan memaklumkan tiga menara komunikasi itu terletak di Kampung Kepah, Kampung Machang dan Kolej Tingkatan Enam Hulu Terengganu.

“Pembinaan tiga menara yang dilaksanakan di bawah Pelan Jalinan Digital Negara itu turut memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk di sekitar kawasan menara seperti Kampung Butut, perumahan Tok Hujib, perumahan Seri Bajar, Kampung Tengkawang dan Kampung Matang.

“Pembinaannya juga akan membantu meningkatkan taraf hidup penduduk setempat selain mempersiapkan penduduk berhadapan dengan era digital yang kian mencabar,” menurut kenyataan itu.

Projek pembinaan tiga menara itu adalah susulan lawatan kerja Pengerusi MCMC Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek bersama Ahli Parlimen Hulu Terengganu Datuk Rosol Wahid di kawasan berkenaan pada 6 Mac lepas.

Pembinaan komunikasi baharu itu dengan liputan 4G juga dapat membantu guru dan pelajar sekolah di sekitar kawasan berkenaan untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah dengan lancar dan berkesan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here