KUALA LUMPUR, 3 Julai — Pemimpin di semua peringkat, agensi berkaitan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diseru memastikan, maklumat mengenai pakej rangsangan ekonomi daripada kerajaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat.

Ketua-ketua penerangan parti-parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam satu kenyataan bersama, juga meminta seluruh lapisan rakyat mengambil manfaat daripada setiap insentif yang disediakan itu.

“Antara insentif disediakan adalah moratorium tanpa syarat kepada semua peminjam individu. Tawaran ini mendapat kerjasama baik daripada pihak bank, bagi meringankan bebanan rakyat yang terjejas pendapatan.

“Namun, dinasihatkan agar peminjam tidak menambah komitmen kewangan lain, jika tidak terdesak,” kata mereka.

Ketua-ketua penerangan parti-parti itu ialah Datuk Wan Saiful Wan Jan daripada BERSATU, Kamaruzaman Mohamad (PAS), Chin Vui Kai (Parti Maju Sabah), Jeffrey Kumin (Parti Solidariri Tanah Airku), Datuk V Gunalan (MIC), Koo Shiaw Lee (Gerakan), Datuk Julita Majungki (Parti Bersatu Sabah), Datuk Idris Buang (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu), Datuk Wildfred Nissom (Parti Rakyat Sarawak) dan Khairin Bador (Parti Bersatu Rakyat Sabah).

Turut serta Pengerusi Biro Penerangan MCA Chan Quin Er, Setiausaha Penganjur Kebangsaan Parti Demokratik Progresif (PDP) Yong Li Na serta Setiausaha Penerangan dan Publisiti Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Adam Yii.

Sementara itu mereka juga menegaskan, jentera penerangan parti-parti dalam kerajaan PN, menyokong Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.

“Jentera semua parti-parti yang kami wakili akan memainkan peranan, memastikan mesej penting mengenai pakej bantuan kerajaan akan sampai ke akar umbi,” kata mereka sambil menyatakan, golongan terjejas boleh memanfaatkan program Bantuan Bakul Makanan yang diperuntukkan kepada semua Ahli Parlimen.

Kata mereka, kerajaan PN mengambil sikap mengetepikan perbezaan politik dan memberikan peruntukan kepada semua wakil rakyat, tanpa mengira sikap mereka terhadap kerajaan.

“Kami akan terus membantu kerajaan PN dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN), dengan memperkasakan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK),” menurut kenyataan tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here