KUALA LUMPUR, 5 Julai  — Lima negeri iaitu Pahang, Perak, Terengganu, Kelantan dan Perlis beralih ke Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini sekali gus membenarkan sektor perdagangan dan pengedaran tertentu beroperasi termasuk kedai cuci kereta serta kedai gunting rambut.

Kebanyakan peniaga dan pekerja sektor terbabit melahirkan rasa lega dan syukur kerana mereka boleh kembali menjana sumber pendapatan serta merancakkan ekonomi keluarga.

Di Lipis PAHANG, pengusaha kedai mencuci kereta Rafiq Huzzairi Ramzan, 27, berharap kebenaran beroperasi yang diberikan kepada peniaga seperti beliau tidak akan ditarik semula dalam masa terdekat kerana wang simpanannya hampir licin selepas beberapa bulan tidak berniaga. 

“Saya tidak mempunyai masalah untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana kami juga bimbang dengan keselamatan diri sendiri… malah semasa kes melonjak, kami hanya membuat perkhidmatan cuci bahagian luar kerana mahu memendekkan masa dan mengurangkan interaksi dengan pelanggan,” katanya yang mempunyai empat pekerja berusia lingkungan 19 hingga 25 tahun. 

Di PERAK, pemilik DMT Car Spa and Retailing Wan Amaluddin Wan Azemin, 29, pula berkata peralihan ke fasa baharu itu membolehkan beliau menggerakkan semula operasi perniagaan memandangkan mesin dan peralatan mencuci kereta yang semakin berkarat serta berhabuk kerana lama tidak digunakan. 

Bagi pemilik Moss Barber Ezuan Husaini Rosli, 28, orang ramai kini boleh mendapatkan perkhidmatan kedai gunting rambutnya di Ipoh dengan pematuhan SOP manakala  pemilik kedai alat tulis di Silibin, Balan Krishnan, 53, pula berkata pembukaan semula perniagaannya memudahkan pelanggan mendapatkan perkhidmatan yang disediakan. 

Di TERENGGANU, pemilik kedai mencuci kereta Muhammad Akram Rani, 28, gembira kerana dapat ‘bernyawa semula’ dan kembali menjalankan perniagaannya hari ini.

Katanya beliau hampir buntu mencari jalan untuk membayar segala tanggungan dan pinjaman termasuk sewa bulanan tapak premis apabila perniagaannya, yang terletak di Bukit Bayas di Kuala Terengganu, terpaksa ditutup sebelum ini.

“Sewa tapak untuk cuci kereta ini sahaja sudah RM1,000. Belum lagi masuk tanggungan lain seperti pinjaman rumah, makan dan minum. Begitu juga dengan nasib lima pekerja saya yang amat terkesan apabila kedai terpaksa tutup,” katanya.

Pengasas Matt Barber Shop, Mohd Yusof Taib, yang mempunyai 10 cawangan di Terengganu dan satu di Kuantan, Pahang pula menyeru agar semua pemilik kedai gunting rambut mematuhi SOP bagi mengelakkan berlaku kluster kedai gunting rambut yang boleh mengakibatkan kebenaran beroperasi ditarik semula.

Di KELANTAN, pengusaha kedai mencuci kereta Salnan Mohd Zin, 28, bersyukur atas keprihatinan kerajaan yang mendengar pandangan serta rintihan peniaga kecil apabila membenarkan perkhidmatan itu beroperasi semula.

“Kebenaran ini bukan sahaja memberi ‘nyawa’ kepada saya malah dua lagi pekerja yang tiada pendapatan sejak dua bulan lepas apabila tidak bekerja.

“Sebelum ini, saya terpaksa bergantung kepada wang simpanan untuk membayar sewa kedai dan menyara keluarga,” katanya yang mengusahakan perkhidmatan itu di Kampung Belimbing, Tanah Merah sejak dua tahun lepas.

Di PERLIS, seorang penjawat awam, Izzuddin Barahim, 36 turut lega apabila kedai alat tulis kembali beroperasi dan membolehkan beliau membeli peralatan untuk anaknya bagi mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Seorang pekerja kedai kasut Nur Farah Izzati Mohd Fadzil, 20, pula berharap Perlis dan beberapa negeri berhampiran akan memasuki Fasa Ketiga PPN bagi membolehkan lebih banyak sektor dibuka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here