KUALA LUMPUR, 14 Julai — AmInvestment Bank Bhd mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor pengangkutan dan logistik berdasarkan pertumbuhan pergerakan kargo dalam kontena di serata dunia serta pengembangan memberangsangkan perniagaan penghantaran bungkusan akibat peningkatan aktiviti beli-belah dalam talian.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, bank pelaburan itu berkata sejak pertengahan 2020, segmen pelabuhan terbukti terus ketara dan kekal berdaya tahan dengan sebahagian besarnya disebabkan oleh permintaan penghantaran menerusi jalan laut berkenaan.

“Bagaimanapun, pelabuhan ini tidak dapat merealisasikan potensi sepenuhnya akibat isu kesesakan yang menjejaskan aspek kecekapan.

“Kami percaya kesesakan pelabuhan itu akan reda secara beransur-ansur apabila pihak kapal melakukan penghantaran berkaitan. Ini termasuk usaha di kawasan timur yang menjejaki pemulihan di (negara-negara) barat dengan lebih banyak kapasiti kargo udara kembali beroperasi apabila sempadan antarabangsa dibuka semula.

“Ia juga didorong oleh peralihan perbelanjaan pengguna di barat kepada perkhidmatan daripada barangan import apabila kawalan pergerakan dilonggarkan,” katanya.

AmInvestment juga menjangkakan bahawa bilangan kontena kendalian Westport Holdings akan meningkat sebanyak lima peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2022 daripada unjuran pertumbuhan sebanyak dua peratus pada tahun kewangan 2021. 

Menurutnya, segmen penghantaran bungkusan dijangka terus memanfaatkan pertumbuhan volum yang amat memberangsangkan apabila pandemik COVID-19 terbukti mengubah tabiat pengguna yang menggabungkan aktiviti kunjungan premis fizikal serta melayari saluran jualan secara dalam talian.

“Kami percaya pengguna telah beralih kepada usaha beli-belah secara dalam talian kerana kemudahan serta harga yang berdaya saing tanpa kompromi terhadap kualiti produk.

“Selain itu, moratorium mengenai lesen perkhidmatan kurier baharu akan mengelak segmen yang sememangnya sesak dengan ramai penggiat, untuk berkembang,” katanya.

Bagi industri perjalanan udara, bank pelaburan itu mengunjurkan pemulihannya secara beransur-ansur ketika sempadan antarabangsa dibuka semula dengan lebih banyak negara mencapai imuniti berkelompok susulan pelaksanaan pemberian vaksin yang ketara.

“Namun, bagi tahun ini, prospeknya kekal suram dengan pihak Suruhanjaya Penerbangan Malaysia mengunjurkan penguncupan trafik penumpang udara di Malaysia antara 22.9 peratus hingga 29.1 peratus yang seiring dengan andaian kami sebanyak 20 peratus bagi tahun ke tahun,” katanya.

Bagi pemulihan industri pengembaraan udara, AmInvestment memilih Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berikutan operasi perniagaan lapangan terbangnya yang merupakan kepentingan negara serta pemegang saham yang kukuh daripada kalangan entiti berkaitan kerajaan.

“Kami sebaliknya (berpendirian) berhati-hati terhadap AirAsia Group kerana walaupun wujud kecairan tinggi, tumpuan lebih kepada sejauh mana ia mampu bangkit daripada krisis semasa selepas mencatat lembaran imbangan yang susut akibat pandemik tersebut,” katanya.

Pada 11.10 pagi ini, saham Westports tidak berubah pada RM4.23, MAHB turun 0.52 peratus kepada RM5.70 manakala AirAsia merosot 2.4 peratus kepada 82 sen.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here