KUALA LUMPUR, 31 Julai — TERAJU telah menganjurkan sesi libat urus pada 29-30 Julai 2021 bagi membincangkan isu-isu berkaitan golongan Bumiputera yang terlibat dalam industri p-hailing (makanan).

Dalam kenyataannya hari ini, TERAJU berkata sesi yang diadakan secara dalam talian itu telah disertai oleh 43 kumpulan pemegang taruh yang mewakili pelbagai kementerian, badan berkanun dan agensi terpilih, pengendali platform, operator, vendor selain Persatuan Penghantar p-Hailing Malaysia.

Sesi yang dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU Md Silmi Abd Rahman, bertujuan mengenal pasti penyelesaian terhadap isu-isu berbangkit bagi meningkatkan kemampanan serta kesejahteraan pemandu perkhidmatan p-hailing tersebut.

Enam perkara yang diberi tumpuan adalah aspek etika dan tingkah laku, undang-undang, keselamatan, sistem aplikasi, pelanggan dan vendor serta operator.

“TERAJU selaku pembolehcara strategik pembangunan sosioekonomi Bumiputera, nekad serta teguh dalam aspirasinya memacu pemerkasaan pembangunan ekonomi gig bagi meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam rantaian nilai yang lebih tinggi,” katanya.

Maklumat dapatan kajian TERAJU menunjukkan sekitar 70,000 penghantar makanan dengan majoritinya 40,000 orang (57 peratus) adalah tertumpu di kawasan Lembah Klang.

Kajian itu turut mendapati sebanyak 93.8 peratus mereka terbabit merupakan golongan Bumiputera dan 80.1 peratus adalah kalangan belia berusia sekitar 18-30 tahun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here