ISKANDAR PUTERI, 8 Ogos  — Sembilan puluh peratus populasi dewasa di Johor dijangka lengkap menerima dua dos vaksin menjelang akhir September, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.

Beliau yakin  sasaran itu dapat dicapai dengan pertambahan bekalan vaksin pada bulan ini dan bulan depan di samping pembukaan beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) baharu di negeri ini.

“Dengan pembukaan PPV baharu, kapasiti suntikan vaksin di Johor yang kini 71,000 dos sehari melibatkan 259 PPV, dijangka meningkat kepada 90,000 dos sehari bulan depan,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak PPV Iskandar Malaysia Studios, di sini, hari ini. 

Cadangan PPV baharu termasuk PPV Iskandar Malaysia Studios yang akan mempunyai kapasiti pemberian vaksin sebanyak 7,000 dos sehari. 

Selain itu, Khairy berkata salah satu cadangan lain ialah mewujudkan PPV pandu lalu di Arena Larkin untuk orang kurang upaya (OKU) dan warga emas. 

“Itu baru cadangan, Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi telah membuat lawatan untuk melihat tempat berkenaan (Arena Larkin) dan beliau berpendapat kawasan tu sesuai untuk tujuan itu. Yang pasti, saya nak buka satu PPV pandu lalu OKU di Johor,” katanya yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. 

Terdahulu, Khairy menghadap Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi membentangkan jadual penghantaran vaksin ke negeri ini.

Sementara itu, Tunku Ismail dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi baginda bertitah, Johor akan menerima dua juta bekalan dos vaksin dalam bulan ini.

“Pertemuan (dengan Khairy) ini mengenai kadar vaksinasi dan pembekalan vaksin di Johor, hasil perbincangan Johor akan menerima sebanyak dua juta dos vaksin untuk bulan ini. 

“Dos vaksin ini tiba pada 1 Ogos berjumlah 324,940 dos, kemudian 9 Ogos (564,234 dos); 16 Ogos (340,150 dos) dan 23 Ogos (796,344 dos),” titah baginda.

Baginda turut bertitah semoga pengumuman itu akan menghasilkan pencapaian imuniti kelompok dalam jangka masa terdekat.

Sementara itu, dalam satu kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata tambahan dua juta dos vaksin itu meliputi semua jenis vaksin COVID-19 yang telah mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diagihkan ke seluruh pusat pemberian vaksin (PPV) di Johor. 

“Dengan dua juta dos vaksin yang diagihkan ke Johor pada bulan ini, akan membantu mempercepatkan lagi sasaran mencapai immuniti kelompok di negeri itu,” katanya. 

Sehingga hari ini, sejumlah 1,362,398 orang telah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 di Johor, manakala 540,895 orang telah melengkapkan vaksinasi mereka. 

“Secara keseluruhan, sudah 50.2 peratus populasi dewasa di negeri itu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19,” kata Adham.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here