IPOH, 9 Ogos — Kira-Kira 200,000 dos vaksin dijangka disediakan bagi kumpulan sasaran Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di Perak dan sektor swasta menerusi Program Vaksin Perak (PVP) iaitu SilverVax bagi memperluaskan lagi vaksinasi kepada penduduk Perak.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Majuperak Holdings Bhd (MHB) Nizran Noordin berkata setakat ini, kira-kira 300 syarikat swasta di seluruh negeri telah mendaftar untuk menyedia dan memberikan vaksin kepada kakitangan serta ahli keluarga masing-masing sejak permohonan dibuka pada 23 Julai lepas.

“MHB baru-baru ini dilantik Pharmaniaga Berhad untuk pembekalan vaksin COVID-19 Sinovac di Perak yang kini proses vaksinasinya dijalankan di Hospital Ar-Ridzuan Ipoh. Ketika ini, MHB juga sedang berunding dengan DuoPharma Biotech Berhad untuk pengedaran vaksin Sinopharm bersama dengan penganjur penjagaan kesihatannya EB Holding Sdn Bhd.

“Usaha ini penting agar negeri Perak dapat mencapai imuniti kelompok serta menyokong pertumbuhan ekonomi yang berterusan dan memvaksinasi sepenuhnya 100,000 penduduk di Perak menjelang akhir tahun ini dengan masing-masing dua dos, bergantung juga kepada permintaan pemilik perniagaan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata program SilverVax merupakan satu peluang kepada pemilik perniagaan bagi memudahkan pemulihan ekonomi syarikat masing-masing apabila Perdana Menteri telah mengumumkan kelonggaran beberapa aktiviti kepada individu yang telah lengkap menerima vaksin.

Dilapor, program vaksinasi SilverVax telah dilancarkan pada 2 Ogos lepas dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) menerusi anak syarikatnya MHB telah dilantik mengetuai pembelian vaksin bagi PVP untuk mempercepat proses vaksinasi terutama bagi pemain industri swasta.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad dilapor berkata vaksin yang diperoleh kerajaan negeri menerusi PKNPk itu hanyalah untuk kegunaan syarikat swasta dan bukan untuk orang awam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here